fbpx

Baddrol tetap tenang berdepan kemarau gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BADDROL mengakui tidak resah mengenai kegagalan menjaringkan gol dalam semua aksi Liga Super musim ini.

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar langsung tidak gusar dengan situasinya gagal menjaringkan gol dalam semua 11 perlawanan bersama skuad Helang Merah dalam saingan Liga Super musim ini.

Ini adalah kali pertama perancang tengah itu gagal mencetak nama selaku penjaring gol sepanjang 14 tahun menyarung jersi Kedah beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Premier sejak membuat debut pada musim 2006/2007.

Sebaliknya, pemain berusia 32 tahun itu mempunyai alasan tersendiri dan pada masa sama masih berupaya membantu Kedah muncul naib juara Liga Super musim ini sekali gus meraih slot automatik ke pentas Piala AFC tahun depan.

“Perjalanan liga musim ini terlampau pendek, namun ia bukan satu masalah buat saya. Apa yang paling penting buat saya ialah pasukan dapat meraih tiga mata dalam sesuatu perlawanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Baddrol mempunyai rekod yang cukup cemerlang apabila telah memenangi semua kejohanan domestik bersama Kedah dengan dua gelaran Liga Super, empat Piala FA, tiga Piala Malaysia, dua Liga Premier dan satu kejuaraan Perisai Komuniti.

Pemain yang pernah mendapat jolokan Captain Marvel itu adalah sebahagian daripada skuad kebangsaan yang menjuarai dua pingat emas Sukan SEA pada 2009 dan 2011 selain muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

Sehubungan itu, Baddrol pastinya bertekad menamatkan kemarau jaringannya dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya awal bulan depan.

“Kami akan membawa semangat layak ke Piala AFC untuk kempen Piala Malaysia dan saya amat berharap momentum cemerlang pasukan ketika ini dapat diteruskan.

“Saya ingin membantu Kedah melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia supaya dapat memberikan satu lagi berita gembira untuk rakyat Kedah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI