fbpx

Wanita, adik didakwa bunuh suami OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh G.S. Angela Dewi, 45 (hadapan, kiri) dan adiknya, G.S. Vijaya , 42 dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, selepas dituduh membunuh R. Devarajoo, 59 merupakan seorang OKU buta 01 Oktober lalu di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang. FOTO; MUHAMAD IQBAL ROSLI

KAJANG – Seorang wanita dan adik lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya yang juga orang kelainan upaya (OKU) buta awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu G.S Angela Dewi ,45, dan adiknya G.S Vijaya ,42, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Angela yang merupakan pengusaha kedai makan dan adiknya Vijaya yang merupakan pembantu kedai makan, secara bersama dengan sengaja telah membunuh R.Devarajoo, 59, di sebuah rumah, Lorong Jati 1, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua di sini antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang pada 1 Oktober 2020.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu dokumen berkaitan kes.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang wanita tergamak merancang pembunuhan suaminya yang buta semata-mata untuk mendapatkan harta milik lelaki itu yang dianggarkan berjumlah lebih RM2 juta.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 12.30 tengah hari pada 1 Oktober lalu itu si isteri me­ngupah adik lelakinya untuk datang ke rumah mereka di Jalan Jati, Kampung Sungai Chua di sini dengan tujuan membunuh suaminya yang juga seorang ahli perniagaan.

Bagaimanapun, pembunuhan itu terbongkar pada Sabtu lalu selepas wanita berusia 45 tahun berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuatnya yang mendakwa si mati disamun individu tidak dikenali di hadapan rumah mereka.

Sumber memberitahu, pada hari kejadian, mangsa telah didatangi seorang lelaki di pekarangan rumah sebelum suspek bertindak memukul kepalanya menggunakan tukul besi selain melarikan rantai yang dipakai.

Susulan kejadian itu, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang di sini untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Kata sumber itu lagi pihaknya mendapati wujud keraguan dalam laporan yang dibuat isteri pertama mangsa sebelum pihak polis memberkas wanita itu bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun selepas direman selama tujuh hari suspek mengaku telah rancang membunuh suaminya bagi mendapatkan harta.

Suspek turut mengaku me­ngupah adik lelakinya untuk melakukan pembunuhan tersebut dengan menawarkan upah sebahagian daripada harta milik mangsa.

Menurut sumber, suspek dikatakan akan mendapatkan harta termasuk aliran tunai milik suaminya yang berjumlah lebih RM2 juta termasuk RM800,000 daripada insurans ekoran kematian mangsa.

Difahamkan, mangsa berusia 59 tahun yang mengusahakan perniagaan lori dan besi buruk mengalami cacat penglihatan sejak 20 tahun lalu ekoran penyakit genetik keluarga.

Mangsa juga dikatakan mempunyai dua isteri dan enam orang anak berusia dalam lingkungan belasan tahun dan 20-an.

Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat itu pihak polis menahan suspek lelaki berusia 42 tahun di kawasan Kajang pada Ahad lalu.

Jelas sumber itu, suspek wa­nita itu turut membawa polis ke sebuah kedai besi buruk milik suaminya yang membawa kepada penemuan senjata yang digunakan ketika kejadian.

Senjata itu ialah tukul besi serta rantai leher namun ditanam di kedai besi buruk itu. – K! ONLONE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI