FIGURA yang pada mulanya menjadikan gelanggang komedi sebagai periuk nasinya itu menjalani kehidupan sama seperti orang lain.
Meraih rezeki, berkahwin dan kemudian menggalas peranan sebagai seorang bapa. Achey Bocey, sepotong nama pentas yang kalau kelibatnya berkeliaran di tempat umum, orang tidak menyangka dia seorang selebriti.
Ini bukan satu penyataan bahawa Achey tidak berkualiti atau tiada pesona bintang, hakikatnya dia seorang yang sangat bersahaja. Bersahaja dari segi penampilan mahupun keperibadian.
“Kejayaan seseorang artis ialah kesenangan. Maksud saya, senang daripada pelbagai sudut. Misalnya, kalau ibu saya ingin pakai wang, saya boleh hulurkan sejumlah wang untuk dia.
“Kalau anak saya sakit, saya mampu mendapatkan rawatan sama ada di hospital kerajaan atau swasta untuknya. Saya tidak kaya, cuma senang. Insya-Allah,” ujar Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah.
Achey, 34, ditemui HibGlam pada majlis penyerahan sumbangan cek bernilai RM15,000 daripada syarikat produk wangian, SugarBomb kepada Makmal Penyelidikan Kanser Universiti Putra Malaysia (UPM) – Majlis Kanser Majis Nasional (MAKNA) (CANRES) di Klang, Selangor baru-baru ini.

Rawatan IVF
Suami kepada wanita bernama Nur Hassanah Yahya itu kemudian diusulkan dengan perihal mendapatkan cahaya mata daripada darah daging sendiri.
Kata Achey, dia dan isteri bercadang menjalani rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF) hujung tahun ini.
“Kalau tiada aral melintang, isteri ingin buat IVF pada Disember tahun ini. Sepatutnya, kami memulakan rawatan sejak Jun lalu, namun disebabkan jadual kerja yang sibuk dan pandemik yang masih belum surut, perancangan itu tergendala.
“Ingin buat IVF bukan sekadar menjalani rawatan. Perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Tidak boleh berdepan tekanan melampau.
“Sebagai suami, saya juga perlu mempersiapkan diri dari aspek yang telah saya sebutkan tadi. Saya perlu melapangkan masa dan harus bersedia jaga emosi isteri,” kata pelantun lagu Yang Terindah itu.
Ditebak sama ada dia dan isteri mempunyai perancangan untuk menambah anak angkat selepas Nur Tiara Zinnirah kini sudah berusia dua tahun, balas Achey: “Kita tengok macam mana selepas IVF. Kalau masih tidak berjaya, saya mungkin akan pertimbangkan untuk ambil anak angkat lagi.
“Orang rumah ingin cahaya mata daripada rahim sendiri. Seperkara lagi, kalau ingin ambil anak angkat, perlu fikir pasal ibu susuan pula. Kita tengok macam mana rezeki nanti. Mungkin ambil anak angkat yang sudah besar sedikit.”
Ibu susuan
Terlanjur bercerita, Achey memberitahu, isterinya sebelum ini pernah berusaha untuk menjadi ibu susuan kepada anak angkatnya. Sepanjang berusaha, Nur Hassanah ada mengambil suntikan hormon sintetik sebanyak empat kali.
Malangnya, usaha tersebut tidak berhasil dan doktor menyarankannya berhenti daripada mengambil suntikan bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kanser payudara.

“Dia (isteri) ingin sangat menyusukan Tiara sampai ambil suntikan sehingga payudaranya membengkak. Tujuannya cuma satu, ingin menjadikannya mahram.
“Agak lama dia menderita sampai ingin tidur pun susah. Selepas nasihat dan saranan daripada doktor, pengambilan suntikan hormon itu dihentikan.
“Doktor kata kalau diteruskan, akan merisikokan pertumbuhan sel kanser pula. Jadi, kakak saya yang jadi ibu susuan kepada Tiara,” ceritanya.
Buka kedai motosikal
Beralih tentang urusan perniagaan, Achey memberitahu, dia bakal mengusahakan sebuah kedai aksesori motosikal tidak lama lagi.
“Kedai itu saya namakan Motor Planet dan akan beroperasi di Shah Alam, Selangor.
“Kedai itu akan jadi semacam pusat sehenti untuk aksesori motosikal. Saya sudah pun berbincang dengan beberapa pembekal aksesori motosikal. Saya dapat komisen sedikit sahaja,” kata juara program Bintang Mencari Bintang musim pertama itu.
Diusik pertanyaan sama ada kekayaan yang diraih ada kaitan dengan Macau Scam yang menggemparkan industri seni tanah air sejak kebelakangan ini, jawab Achey: “Bukan suntikan ‘dana’ daripada aktiviti seperti itu. Saya tiada pakej dan rupa paras untuk dijadikan perantara aktiviti itu.

“Ini semua rezeki yang Allah pinjamkan untuk saya. Ada duit sedikit, saya labur untuk buat perkara yang saya suka atau minat.”
Achey juga mendedahkan dia pernah memiliki koleksi motosikal kapcai sebanyak 24 buah hasil kerja keras bekerja dalam dunia seni.
Akui Achey, dia sememangnya peminat motosikal jenis kapcai sejak dahulu lagi.
“Hobi saya beli motor tetapi bukan motor berkuasa tinggi atau yang mewah. Sekarang sudah kurang. Tinggal lebih 20 biji. Ada di kampung dan simpan di beberapa tempat.
“Misalnya, model Modenas Kriss ada empat buah. Model SYM pula ada tiga buah. Kebanyakannya saya beli untuk membantu individu yang memerlukan duit. Ada motor yang saya beli dipinjamkan kepada orang susah di kampung. Saya tidak kisah pun andai tidak dikembalikan semula kepada saya,” tutup Achey. menguncup bicara.













