fbpx

Ketuanan kulit putih semakin terhakis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN AZHAR WAN ABDULLAH, PENOLONG PENGARANG BERITA

Calon Parti Republikan, Donald Trump menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016 walaupun beliau sebenarnya mendapat undi kurang berbanding pencabarnya, Hillary Clinton.

Dalam sejarah negara kuasa besar itu, situasi di mana calon Presiden AS mendapat kurang undi popular tetapi dipilih memenangi pilihan raya Presiden berlaku hanya lima kali melibatkan Presiden John Quincy Adams, Rutherford B Hayes, Benjamin Harrison, George W. Bush dan akhir sekali, Trump.

Dalam kempen politiknya, Trump berjanji akan menjadikan Amerika hebat untuk memikat hati rakyat, namun ramai pengkritik mendakwa bahawa manifesto itu ditujukan kepada penduduk kulit putih yang makin tertekan akibat peningkatan kos sara hidup dan kaum pendatang agresif merebut peluang ekonominya.

Malah, regu Clinton, Tim Kaine pernah menuduh Trump sebenarnya memperjuangkan nilai-nilai ketuanan kulit putih dan mahu memulihkan kuasa kulit putih yang semakin terhakis di AS.

Agenda ketuanan kulit putih dan antipendatang Trump menjadi sandaran ketika beliau sekali lagi turun berkempen dalam usaha menduduki semula kerusi White House selepas pilihan raya umum 3 November ini.

Berdasarkan bancian, warga kulit putih adalah penduduk majoriti AS, namun jurang perbezaan kaum makin mengecil setiap tahun.

Berdasarkan bancian 2019, AS mempunyai lebih 328 juta penduduk dengan 76 peratus populasinya terdiri daripada penduduk kulit putih, manakala populasi kulit hitam pula berjumlah lebih 44 juta orang atau lebih 13 peratus.

Trump masih boleh bersandarkan kepada sokongan penduduk kulit putih dalam pilihan raya kali ini dan memiliki peluang cerah untuk menduduki kerusi White

House penggal kedua. Namun, resipi Trump dan Parti Republikan tidak akan dapat bertahan lama ekoran cara lebih liberal generasi Y (milenia) dan Z dalam melihat dunia.

Apabila jurang perbezaan kaum semakin kecil di AS pada masa hadapan, akan tiba waktunya apabila calon-calon Presiden yang bertanding tidak boleh lagi mengharapkan sentimen kulit putih atau ultra nasionalis bagi meraih sokongan.

Calon-calon ketika itu harus mendapat sokongan pelbagai kaum dan etnik untuk menang dalam pilihan raya.

Sistem demokrasi yang diamalkan di AS waima di negara mana sekali pun formulanya sama sahaja iaitu ia berpihak kepada undi majoriti dan bukan ‘tuan’ sesuatu negara.

Walaupun orang kulit putih adalah peneroka dan perintis yang memajukan AS, suatu masa nanti jika perbezaan penduduk tidak ketara, maka agenda dan visi mereka akan semakin terhakis.

Tidak mustahil Parti Republikan terpaksa mengubah dasar dan manifesto bagi menjadikannya lebih menarik kerana tanpa sokongan pelbagai bangsa, parti itu tidak akan dapat memerintah negara.

Harusnya bagi mendapat sokongan penduduk bukan kulit putih pula , parti tersebut perlu mengorbankan sedikit agenda mereka atau setidak-tidaknya bertoleransi dalam perkara yang dahulunya tidak boleh berkompromi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI