fbpx

Rakyat anggap isu air sangat melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai mengambil air di Pusat Khidmat Setempat PJS 1/25, Petaling Jaya semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

KLANG – Rakyat Selangor meng­anggap kekerapan masalah gangguan bekalan air di negeri itu sudah melampaui batas dan membebankan banyak pihak.

Setelah 47 hari insiden gangguan bekalan air akibat pencemaran di Sungai Gong, Rawang, semalam rakyat Selangor sekali lagi terpaksa ‘menadah air’ akibat pencemaran empat buah loji rawatan air (LRA) kerana pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan kali ini melibatkan 1,196,457 akaun dengan 5 juta pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Sela­ngor Fasa (SSP) 2 Fasa 1, 2 dan 3.

Tinjauan Kosmo! di sekitar daerah ini dan Shah Alam mendapati rata-rata penduduk tidak sempat menyimpan air kerana hanya mengetahui gangguan bekalan itu pada awal pagi semalam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Sedeli, Taman Sri Andalas, Tukimin Sarlan, 65, berkata, pihaknya amat kesal dengan masalah air di negeri itu yang masih tiada berkesudahan.

“Pada bulan ini, beberapa kali telah berlaku gangguan bekalan di Selangor yang disifatkan amat melampau.

“Bagaimana masalah itu masih kerap berlaku, apatah lagi rakyat kini dalam keadaan ­Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan Covid-19?” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Gangguan bekalan air turut menyebabkan seorang peniaga makanan di Medan Selera Taman Sri Andalas, Mariah Yusoff, 35, terpaksa berulang alik dari rumahnya sejauh 2 kilometer untuk mengambil air.

“Masalah gangguan bekalan itu sememangnya terlalu kerap berlaku hingga menjejaskan operasi harian kedai saya dengan jumlah pendapatan makin merosot terutama ketika pelaksanaan PKPB ditambah lagi dengan tiada bekalan air,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga Fitriya Misnadin, 28, berkata, kehadiran pengunjung juga semakin berkurangan sehingga ada kedai yang terpaksa ditutup kerana ketiadaan air.

“Ketiadaan air pernah menyebabkan pelanggan berang dan beredar pulang dari kedai saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, di media sosial, ramai netizen berang dan meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan jawatannya kerana gagal menangani kes pencemaran su­ngai di negeri itu.

Seorang pemilik akaun Twitter dengan bernama Jagmeet turut meminta pengarah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Se­langor) juga melakukan perkara sama.

“Tolong letak jawatan Amirudin Shari. Anda sendiri tahu yang anda tidak mampu memimpin kerajaan negeri ketika ini dan oleh itu, letaklah jawatan.

“Kepada Pengarah Air Sela­ngor, tolong letak jawatan juga. Cukuplah dengan apa yang berlaku,” ciapnya dalam akaun peribadinya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI