fbpx

RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 diwarta minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Hukuman ke atas pemandu Myvi yang didapati memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang askar dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor pada 10 Oktober lalu mengguna pakai Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang belum dipinda.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan akan mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 minggu depan supaya ia menjadi sebahagian undang-undang dengan menyaksikan hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap pesalah jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pindaan baharu bagi Seksyen 41 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu melulu kini dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Beliau berkata, pindaan baharu bagi Seksyen 44 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, penjara dikenakan tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 bagi sabitan pertama.

Menurutnya, tempoh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu juga dipinda dari tempoh tidak kurang lima tahun kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dalam sabitan pertama.

“Saya mengambil maklum tentang kes pemandu Myvi berkenaan di mana pesalah telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret semalam di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ramai netizen telah mengeluarkan rasa tidak puas hati mengenai hukuman yang dijatuhkan namun pihak pendakwaraya dan mahkamah hanya boleh menggunapakai Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang belum dipinda bagi kes pemandu Myvi ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Ka Siong berkata, sebelum pindaan, penjara yang dikenakan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi Seskyen 41.

“Hukuman sedia ada bagi Seksyen 44 ialah penjara selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000,” katanya.

Ka Siong berkata, RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 bagaimanapun telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu dan Dewan Negara pada 22 September lalu.

Katanya, mengikut proses undang-undang, apa jua RUU yang telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam tempoh 30 hari dari tarikh kelulusan Parlimen sebelum boleh diwartakan.

“Sukacita dimaklumkan perkenan Al-Sultan Abdullah diperoleh 15 Oktober lalu dan Kementerian Pengangkutan akan mewartakan RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 ini minggu depan supaya ia menjadi sebahagian undang-undang,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI