“SAYA tidak akan boleh berlaku benar terhadap karya muzik, kalau saya tidak bawa budaya dan identiti bersama,” kata penyanyi rap muda Singapura, Yung Raja atau nama lengkapnya, Rajid Ahamed kepada HibGlam dalam satu temu bual secara maya di pejabat Universal Music Malaysia, baru-baru ini.
Awal tahun 2018, Raja melahirkan versi tersendiri lagu nyanyian asal penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Lil Pump berjudul Gucci Gang.
Lelaki yang kini berusia 25 tahun itu memberi nafas baharu terhadap lagu tersebut dan menjudulkannya, Poori Gang.

Versi tersebut dimuat naik di YouTube dan mendapat sambutan hebat ramai sehingga membuka jalan buatnya untuk meluncurkan kerjaya sebagai penyanyi hip hop. Dalam versi Raja, lagu berkenaan kaya dengan lelucon yang diterjemahkan dengan campuran bahasa Tamil dan Inggeris.
Bertitik tolak daripada episod tersebut, karya-karyanya mula mendapat tempat. Dia mula menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian sehinggalah sekarang menjadi penyanyi rap sepenuh masa.
Dia mencipta fenomena tersendiri dengan single perdana berjudul Mustafa dan kemudian Mad Blessings.

Peminat no. 1 Rajinikanth
Tahun 2020, Raja kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul The Dance Song.
Kali ini, rencananya semakin melebar apabila sudah menyertai label syarikat, Alamo Records yang berpusat di AS. Bermakna, dia kini bernaung bawah label sama dengan penyanyi rap antarabangsa seperti Lil Durk, Smokepurpp dan 03 Greedo.
“Saya memang sentiasa ingin melahirkan karya-karya yang membuat orang ramai seronok dan gembira.
“Selepas Mad Blessings, saya dan pasukan mencuba yang terbaik untuk ‘keluar’ dengan karya yang lebih hebat dan berkualiti.
“Saya fikir The Dance Song mampu diterjemahkan untuk misi tersebut. Lagu ini akan membuat orang teruja sebagaimana saya dan pasukan teruja dan gembira membikinnya di studio,” tutur graduan Komunikasi Massa dari Ngee Ann Polytechnic itu.
Sedikit tentang salasilah Raja, bapanya merupakan seorang guru mata pelajaran kimia dan matematik di sebuah bandar di Selatan India iaitu Thanjavur. Mereka sekeluarga berpindah ke Singapura pada 1992.
“Saya merupakan anak bongsu dan mempunyai tiga orang kakak perempuan. Saya bercakap bahasa Tamil di rumah dan mereka semua panggil saya ‘chinna thambi’ yang membawa maksud adik lelaki paling kecil.
“Bapa saya mengajar di Saraswathi College (di India) sebelum kami pindah ke Singapura pada 1992 untuk mencari kehidupan yang lebih baik,” ceritanya.
Bapanya, Yousuf Rowther kemudian melebarkan kerjaya sebagai seorang penulis bahasa Tamil. Bermula dari situ, Raja menceburkan diri dalam bidang lakonan.
“Bapa ialah sumber inspirasi terbesar dalam hidup saya. Disebabkan dia, saya fasih bertutur dalam bahasa Tamil dan boleh menyuntik elemen tersebut dalam karya muzik sekarang.
“Saya merupakan peminat nombor satu Rajinikanth sejak kecil. Saya masih ingat semasa kecil, saya tidak akan makan sekiranya ibu saya tidak memainkan video filem Muthu atau Baasha di televisyen,” katanya seraya tertawa.

Angkat budaya, bahasa ibunda
Sejak 2009, Raja sudah terlibat dalam lebih 10 projek lakonan yang kebanyakannya ditayangkan menerusi saluran Channel 5 Singapura. Antara projek lakonan yang paling popular dan mendapat tempat ialah Ah Boys To Men 3: Frogmen.
Sedekad berlalu, muzik kemudiannya mengubah kehidupan Raja.
“Saya berusia lapan tahun apabila mendengar lagu rap Eminem menerusi salah satu cakera padat milik kakak saya,” katanya.
Hanya kurang daripada 10 tahun kemudian, dia pula ‘bekerja’ ke arah pembikinan muzik apabila memiliki komputer dan boleh memuat turun perisian yang membolehkan dirinya merakam muzik.
Dia mula merakamkan lagu rap saduran dan memuat naiknya dalam aplikasi muzik, Sound Cloud.
“Mula-mula saya buat untuk suka-suka. Tidak sangka berkembang menjadi perkara yang akhirnya bertukar kepada kerjaya,” ujarnya.
Ditanya HibGlam tentang tarikan yang membuatkan dirinya sentiasa menyuntik elemen budaya dan identitinya sebagai lelaki berketurunan India dalam setiap karya, Raja berkata, itu merupakan satu tanggunggjawab.
“Sebagai seorang penyanyi rap, satu tanggungjawab buat saya untuk sentiasa mendukung budaya, identiti dan mewakili Singapura dalam setiap karya yang dihasilkan.
“Saya bangga dan akan sentiasa berkongsi kepada dunia tentang asal usul keturunan dan bahasa ibunda saya iaitu Tamil. Itu janji dan saya main-main dalam soal ini.
“Saya bertuah kerana muzik yang saya bawa merupakan hasil campuran dua kawasan iaitu dari Timur dan Barat. Untuk saya sentiasa masukkan elemen bahasa Tamil dalam setiap lagu tidak susah kerana semuanya datang secara semula jadi.
“Saya dengar muzik AR Rahman dan pada masa yang sama, saya juga dengar lagu Drake, Migos dan bermacam lagi. Itulah saya,” ungkap Raja panjang lebar.

Salah faham hip hop
Ditebak pertanyaan salah faham kebanyakan muzik hip hop dicemari dadah, wanita seksi dan gengsterism, Raja mempunyai pendapat sendiri.
“Bagi saya, mudah. Pendapat sedemikian sesuatu yang subjektif. Muzik saya mewakili kebenaran, identiti dan suara saya. Saya ingin satukan orang ramai melalui muzik.
“Hip hop telah berkembang hampir macam satu agama di seluruh dunia. Mungkin agak keterlaluan tetapi itulah kebenaran. Apa yang kita boleh buat ialah sentiasa menyebarkan mesej yang baik kepada orang ramai,” ulasnya.
Sebelum menggulung bicara, HibGlam sempat bertanya jika diberikan peluang untuk bekerja dengan mana-mana artis, siapakah pilihan Raja, jawabnya: “Saya ingin bekerja dengan Drake. Saya kagum dengannya kerana sejak hari pertama melangkah dalam industri, dia bekerja dengan pasukan yang sama dan terus ‘mendunia’.
“Kalau boleh, saya pun mahu kekal dengan pasukan yang telah saya bekerjasama sejak lagu Mustafa diluncurkan. Tambahan pula, Drake adalah penyanyi rap paling laris di dunia sekarang. Jadi, Drake pilihan saya.”















