fbpx

PKP 2.0 jejaskan ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAZWAN YUSOP

KES penularan Covid-19 dalam negara telah meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Sejak minggu lalu, kes mening­kat kepada tiga angka sehingga 691 kes pada 6 Oktober lalu dan jumlah itu yang tertinggi sejak Malaysia dilanda virus berbahaya tersebut.

Ia diburukkan lagi dengan beberapa pemimpin dan wakil rakyat yang dijangkiti pandemik Covid-19 selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Sabah.

Rentetan itu, orang ramai mula melontarkan pelbagai pendapat dan mendesak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan kadar segera bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diben­dung daripada terus menular dalam komuniti setempat.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan kita tidak menyedari bahawa pelaksanaan PKP 2.0 akan mencetuskan risiko kemelesetan kepada kedudukan ekonomi negara.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Nuraidi Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, PKP 2.0 bukanlah pilihan yang tepat ketika ini.

Terangnya, pelaksanaan PKP 2.0 secara menyeluruh akan mengundang kesan negatif kepada ekonomi dan menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kembali mengucup.

“Apabila sektor ekonomi menghentikan operasi seperti sebelum ini, ia akan mengheret negara kepada kemelesetan lebih teruk berbanding ketika PKP kali pertama.

“Keluk ekonomi kita ketika ini berbentuk ‘V’. Jika PKP 2.0 dilaksanakan kita akan melihat keluk akan bentuk ‘W’ dan masa diambil untuk pulih menjadi lebih lama,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nuraidi Ridz­wan turut menyatakan kebimbangan andai ekonomi negara berubah kepada keluk ‘L’ sekiranya PKP 2.0 dilaksanakan.

Jelasnya, situasi berkenaan boleh berlaku sekiranya pakej rangsangan ekonomi yang diberikan kerajaan tidak lagi berkesan seperti diharapkan.

“Saya paling bimbang sekiranya PKP 2.0 dilaksanakan dan ekonomi tidak dapat berkembang seperti selepas PKP diadakan sebelum ini disebabkan faktor ‘kepenatan’.

“Misalnya, kita sudah bermain bola sepak dalam satu perlawanan. Selepas minum air tenaga (pakej ransangan), tiba-tiba ada satu lagi perlawanan. Ketika itu, kita sudah pasti letih,” katanya.

Justeru, langkah terbaik yang boleh dipraktikan ketika ini adalah dengan pelaksanaan PKP bersasar terutamanya di zon merah.

Langkah ini membolehkan ekonomi berjalan seperti biasa di kawasan hijau sekali gus dapat memastikan kadar pengangguran terkawal.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan memaklumkan, kadar pengangguran negara ketika ini masih lagi tinggi.

Katanya, andai PKP 2.0 dilaksanakan, ia akan menyebabkan jumlah pengangguran kembali meningkat dan mungkin lebih teruk berbanding PKP kali pertama.

“Pilihan yang ada ketika ini adalah majikan membenarkan pekerja mereka bertugas dari rumah terutamanya di kawasan berisiko.

“Majikan juga tidak seharus­nya memotong gaji pekerja apabila mereka bekerja dari rumah. Sebaliknya, majikan membantu menyediakan suasana lebih kondusif untuk bekerja di rumah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI