fbpx
ZARA ZYA

Zara Zya dituduh untung atas angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NURFARHANA MOHAMED

BIARPUN tidak pernah membuat sebarang kenyataan tentang penampilannya yang kini berhijab, pelakon Zara Zya dilihat semakin selesa dengan imej baharunya

Enggan menjadikan kisah bertudung itu sebagai topik utama untuk dikongsi kepada khalayak, pelakon Seadanya Aku itu memilih muhasabah diri untuk kebaikan. Bagaimanapun, ketika sedang bertatih untuk mengejar saham akhirat, wanita berusia 34 tahun itu tidak terlepas daripada cerita kurang menyenangkan.

Kebaikan yang ingin dilakukan, disalah erti oleh segelintir pihak yang hanya pandai menghentam semberono. Ikuti temu bual antara Kosmo! bersama pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu.

KOSMO!: Apa yang membuatkan Zara nekad bertudung?
ZARA ZYA: Alhamdullilah, khabar baik. Saya buat ini (berhijab) atas kehendak diri sendiri, bukan atas desakan orang lain. Keputusan ini tulus ikhlas daripada hati saya.

TIDAK membuat kenyataan rasmi tentang imejnya kini yang sudah berhijab, Zara Zya mengakui sedang dalam fasa bertatih untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

Anda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang imej baharu atau anda memang mahu berdiam diri?
Saya bukan berdiam diri tetapi berada dalam fasa untuk perlahan-lahan belajar ke arah kebaikan seperti menutup aurat. Sebenarnya saya tidak mahu keluarkan kenyataan “Ya, saya sudah berhijab” kerana tak mahu isu penampilan dijadikan fokus.

Pinta saya cuma, doakan saya istiqamah dan kuat mendepani ujian pada hari depan. Banyak stesen radio dan televisyen ada menjemput ke program agama. Mereka minta untuk saya berkongsi tentang penghijrahan tetapi saya terpaksa tolak dengan baik. Bukan apa, saya jadi takut pula dengan jemputan sebegitu sebab saya berubah bukanlah nak jadi ustazah.

Ada yang mendakwa penghijrahan Zara dikaitkan juga dengan perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Sejauh manakah kebenaran kenyataan tersebut?
Kenapa pula begitu. Orang akan sentiasa membuat spekulasi. Takkanlah pakai tudung sebab desakan individu lain. Sebenarnya, saya langsung tiada sebab bertudung sebagai persediaan untuk berkahwin.

Menerusi satu perkongsian dalam Instagram, anda menulis dengan kritikan orang, berbunyi seperti anda dihentam dengan tuduhan memperdagangkan agama untuk kaut keuntungan dalam perniagaan. Boleh jelaskan?
Sebenarnya kapsyen saya itu lebih berbentuk pertanyaan. Saya cuma tanya bukan untuk diri saya seorang tetapi orang lain juga. Namun, soalan saya itu tidak berjawab. Platform media sosial sekarang ini dijadikan tempat menilai dan membuat persepsi negatif terhadap seseorang. Saya tidak terkecuali daripada menerima mesej berbaur kutukan dan hentaman.

Apabila kita cuba berubah ke arah kebaikan, ada ujian yang datang. Ada yang komen suruh saya bertudung labuh serta tutup dada dan tutup aurat dengan sempurna. Macam saya katakan awal tadi, saya kini sedang dalam proses belajar bukannya berubah secara drastik.

Lebih perit, mereka tuduh saya ambil untung atas angin dan memperdagangkan agama demi perniagaan tudung yang diusahakan Mungkin ada segelintir yang lupa, saya ada jual tudung pada 2015 tetapi rasanya dalam dua tahun kemudian saya ‘rehat’ sekejap dan baru sekarang kembali aktif. Alhamdullilah, kebanyakan pelanggan lama datang membeli koleksi terbaharu daripada Zarazya.scarfz.

SETELAH putus tunang dengan Hafreez Adam pada tahun lalu, buat masa ini Zara belum memikirkan soal cinta.

Bagaimana pula dengan kerjaya lakonan?
Sehari sebelum saya nekad bertudung, saya sempat habiskan penggambaran drama Beri Sedikit Waktu untuk slot Samarinda. Ada sebuah tawaran yang saya terpaksa tolak disebabkan faktor penampilan dan jalan cerita.

Dahulu, sebelum bertudung mungkin saya boleh berlakon bersentuh-sentuhan, tetapi sekarang kenalah tukar. Tambahan pula, apabila sudah mahu bertudung, saya tak boleh lengah-lengahkan perkara baik.

Selain itu, ada beberapa kerja yang dah lama dipersetujui, setakat ini tiada sebarang pemberitahuan mengatakan mereka terpaksa batalkan kontrak saya.

Alhamdullilah, mereka dapat terima ‘Zara Zya yang baharu’ ini. Insya-Allah pada November nanti, saya akan menjayakan beberapa buah program masakan. Ada antaranya saya jadi pengacara dan tetamu jemputan.

Okey. Beralih tentang kehidupan peribadi pula. Selepas berdepan dengan fasa putus tunang, adakah anda sudah bersedia untuk kembali menjalin hubungan cinta?
Buat masa ini saya tidak fikir ke arah itu (cinta). Fokus saya ketika ini ialah keluarga, karier seni dan perniagaan.

BERITA BERKAITAN