fbpx

Netizen beretika atau ‘sakit’ mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

DI negara ini, ada satu jabatan yang tidak pernah bercuti waima pada hujung minggu atau cuti umum. Jika timbul sahaja isu-isu sensasi, panas dan kontroversi yang menggemparkan negara, pastinya jabatan itu akan sibuk.

Yang dimaksudkan ialah ‘jabatan’ netizen yang terdiri daripada pengguna aktif media sosial terutama di Facebook. Mereka bagaikan ‘pegawai penyiasat’ yang pantas membongkar sesuatu isu dan kejadian.

Julai lalu, tular satu rakaman video di Facebook yang menunjukkan kejadian pergaduhan antara dua penunggang motosikal di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Melalui rakaman itu, seorang penunggang motosikal Honda EX5 hampir berlanggar dengan sebuah motosikal Yamaha Y15 yang sedang keluar dari simpang.

Kejadian itu menyebabkan penunggang Honda EX5 tidak puas hati dan berlaku pergaduhan mulut sebelum terjadinya tolak-menolak sehingga anak serta isteri penunggang Yamaha Y15 itu terjatuh.

Tindakan penunggang Honda EX5 itu mendapat kecaman netizen. Tidak sampai 12 jam kejadian berlaku, netizen dengan pantas mendedahkan identiti lengkap penunggang motosikal itu di media sosial.

Baru-baru ini pula, kes penahanan reman lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan Macau Scam juga menarik perhatian netizen.

Kes ini lebih sensasi apabila dikaitkan dengan selebriti yang disyaki menjadi kambing hitam sindiket itu untuk ‘cuci’ wang haram bagi menjalankan perniagaan sah menggunakan duit yang disalurkan mereka.

Netizen kemudian menularkan rakaman video mengenai kemewahan hidup sindiket terbabit di media sosial bagi membangkitkan kemarahan orang ramai.

Lebih berani apabila netizen ‘gigih’ mencari gambar-gambar kenderaan mewah serta harga sebenar jam-jam dipakai oleh selebriti yang terpalit dalam kes tersebut.

Selain kes jenayah, netizen juga memang berminat dengan cerita-cerita artis. Baru-baru ini, pelakon Mira Filzah mendedahkan dia merancang untuk menamakan anaknya dengan pangkal ‘W’.

Maka, beribu-ribu komen netizen yang memberi cadangan nama anaknya itu, antaranya ialah Wakanda, Watanabe, Wanda wakalele, Wolverine dan Warisan.

Dalam hal-hal tertentu, ‘jabatan’ netizen banyak membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes kemalangan, mengesan orang hilang dan tularkan gambar individu yang ingkar prosedur operasi standard Covid-19.

Namun, dalam keadaan tertentu, netizen pula berdepan tindakan undang-undang apabila mereka sering menjadikan media sosial sebagai platform untuk mencaci, mengecam, menghina dan menabur fitnah.

Tindakan netizen ini menyebabkan individu yang menjadi mangsa kecaman serta fitnah mengalami kemurungan, lebih buruk lagi mahu membunuh diri.

Netizen seperti ini boleh dianggap mempunyai masalah mental, suka melihat orang lain jatuh tersungkur. Manusia normal tidak akan sukakan semua itu.

Sebagai pengguna media sosial, buatlah pilihan sama ada mahu menjadi netizen bertanggungjawab atau netizen ‘sakit’ mental.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI