fbpx

Polis Tawau buru tujuh lelaki lolos pusat tahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tujuh suspek yang meloloskan diri diminta tampil ke balai polis berdekatan.

Oleh IVAN AMIRUL

TAWAU – Polis memburu tujuh lelaki warga asing ekoran meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, semua tahanan berkenaan terdiri enam warganegara Filipina dan seorang dari Indonesia.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sewaktu kejadian, sekumpulan 14 tahanan dikatakan memanjat pagar sebuah blok tempat semua tahanan berkenaan ditempatkan dalam pusat tahanan itu sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, anggota serta pengawal bertugas di PTS berkenaan berjaya menahan semula tujuh suspek manakala tujuh lagi tahanan meloloskan diri.

“Ekoran kejadian itu, satu laporan polis sudah dibuat pada pukul 10.30 pagi hari sama.

“Siasatan awal mendapati semua tahanan yang diburu berusia antara 29 hingga 42 tahun dan mereka ditempatkan di satu blok kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

“Pengadu yang bertugas sebagai penyelia ketika itu terdengar suara anggota menjerit meminta pertolongan berikutan melihat dua orang tahanan sedang memanjat pagar belakang blok terbabit.

“Sepasukan anggota dan pengawal PTS melancarkan operasi memburu semua suspek dan berjaya menahan semula tujuh orang tahanan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Peter berkata, semua suspek terbabit adalah tahanan yang sedang menunggu giliran dihantar pulang ke negara asal.

“Kita sudah melancarkan operasi khas ‘Ops Tutup’ dengan melaksanakan sekatan jalan raya bagi mengesan semua suspek yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tujuh suspek terbabit diminta tampil ke balai polis berdekatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari pusat tahanan yang sah.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI