fbpx

Cuba rempuh polis elak diperiksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUBANG JAYA – Sebanyak dua das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar sebuah kereta selepas pemandunya bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan cubaan merempuh anggota bertugas kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi sewaktu seorang anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya sedang dalam perjalanan melakukan tugas kawalan lalu lintas.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kewajipan menuju ke arah Jalan Persiaran Tujuan, anggota berkenaan telah terlihat sebuah kereta jenis Nissan Almera warna putih dari arah bertentangan yang dipandu secara mencurigakan.

“Kereta berkenaan dipandu oleh seorang lelaki tempatan sambil menggunakan telefon bimbit menghala ke arah Summit USJ,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurut Risikin, anggota polis berkenaan seterusnya mengekori suspek hingga ke lampu isyarat pusat beli belah Da Men di sini sebelum mengarahkan suspek keluar dari kenderaan untuk diperiksa.

“Suspek bagaimanapun enggan memberikan kerjasama dan memecut kereta sebelum bertindak menghimpit serta cuba melanggar motosikal yang ditunggang anggota bertugas.

“Susulan itu, dua das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar hadapan sebelah kanan kereta suspek mengakibatkan ia pancit dan suspek kemudiannya memberhentikan kereta di Persiaran Kewajipan berdekatan USJ9,” jelas beliau.

Risikin berkata, pemeriksaan ke atas kereta dipandu suspek kemudiannya telah menemui sebanyak 188 karton rokok jenama Gudang Garam Surya.

“Berikutan itu, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an dan berasal dari Johor itu seterusnya dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Suspek kini direman lapan hari bermula semalam (9 Oktober) dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI