fbpx

Bunuh anak sangka dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jiran keluarga itu mengerumuni rumah mereka ketika polis datang menyiasat kejadian yang berlaku pada Endro dan anaknya. - TRIBUN JATENG

JAKARTA – Seorang bapa sanggup memukul dan menjerut anaknya sehingga mati kerana menyangka kanak-kanak itu dijangkiti virus Covid-19 di rumah mereka di Kabupaten Kudus, Jawa Tengah kelmarin.

Menurut laman berita Tribun Jateng, suspek, Endro Gunawan, 48, melakukan perbuatan kejam itu terhadap anaknya, Ilona Indra Mulyasari, 12, yang menghidapi penyakit asma.

Ketua Polis Kudus, Asisten Komisioner Aditya Surya Dharma berkata, isteri suspek, Mulyati yang baru pulang ke rumah terkejut melihat suaminya berada dalam keadaan lemah manakala Ilona tidak sedarkan diri di atas sofa dengan leher masih terjerut kain.

“Kami menjumpai dua keping nota bunuh diri yang ditulis Endro sebelum membunuh anaknya dan diri sendiri.

“Nota yang ditulis Endro meminta maaf atas tindakannya itu dan memohon agar jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang lahad,” katanya.

Aditya juga belum dapat mengesahkan jenis dakwaan yang akan dikenakan terhadap Endro sehingga pihaknya dapat menyiasat punca sebenar kejadian.

“Suspek masih diletakkan di Unit Rawatan Rapi kerana cuba membunuh diri menggunakan sebilah pisau dan polis belum mendapatkan keterangan lanjut daripadanya,” ujarnya.

Sementara itu, jiran mereka, Ani Figiani berkata, isteri mangsa mengadu suspek berasa tertekan kerana berasakan anaknya telah menjangkiti dia dengan wabak maut itu.

“Endro berasa tertekan kerana merasakan dia dijangkiti virus Covid-19 daripada anaknya meskipun sudah beberapa kali menerima keputusan negatif hasil saringan wabak itu.

“Anaknya mempunyai penyakit asma jadi simptomnya seakan sama dengan virus korona iaitu kesukaran bernafas dan cepat keletihan jadi Endro menjadi tidak keruan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Dr. Loekmano Hadi, Abdul Aziz Achyar juga menolak kemungkinan suspek memang dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI