fbpx

Pemuda OKU ligat kerja di pasar malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD SAIFUL menggoreng mi menggunakan sebelah tangan kanannya di pasar minggu di Gua Musang, Kelantan.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Kudung sebelah tangan kiri tidak menghalang seorang lelaki mengambil upah memasak di pasar malam setiap minggu.

Muhamad Saiful Salleh, 31, yang tinggal di Kampung Sungai Kepa di sini ligat mencari rezeki untuk menyara hidup dengan berkerja di pasar malam sejak 14 tahun lalu.

Baginya, tiada istilah me­ngalah pada takdir yang menimpanya apabila tidak mahu menjadikan kecacatan fizikal sebagai penghalang serta menagih simpati orang ramai.

Muhamad Saiful berkata, dia mempunyai tanggungjawab yang besar apabila perlu menyara ibunya yang semakin lanjut usia, Mariah Che Soh, 59.

Katanya, dia bersyukur apabila pasar malam di Gua Musang sudah dibenarkan beroperasi semula selepas berehat hampir lima bulan sebelum ini akibat penularan Covid-19.

“Setiap minggu saya mengambil upah menggoreng 20 kuali mi dan kuetiau di pasar minggu.

“Saya bekerja di pasar minggu sehingga ke kawasan Kuala Lipis, Pahang bagi mencari rezeki kerana tidak mempunyai kemahiran lain,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini semalam.

Menurut Muhamad Saiful, dia kehilangan tangan kiri akibat kemalangan ketika bermain bola bersama rakan kira-kira 11 tahun lalu.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, dia terpaksa menjalani pembedahan bagi memotong tangan kiri sehingga paras bahu akibat jangkitan kuman.

“Walaupun kelainan upaya, kita kena sentiasa berusaha untuk tidak lemah dan bergantung kepada orang lain.

“Saya juga sudah tidak bergantung kepada bantuan kewa­ngan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana boleh bekerja sendiri,” katanya.

Tambah Muhamad Saiful, dia merupakan anak bongsu daripada tiga beradik terlibat dengan masakan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI