fbpx

Geng Fizi dalang pecah kediaman mewah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adzli (kanan) menunjukkan sejumlah wang tunai dan beg tangan yang dirampas susulan penahanan Geng Fizi sejak 19 September lalu.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah yang didalangi Geng Fizi apabila menahan lima suspek bersama wang tunai RM105,000, 12 beg tangan pelbagai jenama mewah dan mesin canai dalam lima serbuan berasingan sejak 19 September lalu.

Penahanan suspek termasuk dua beranak itu dilakukan di Kupang, Baling dan Bukit Selambau, Sungai Petani di sini serta di Jalan Pudu, Kuala Lumpur antara 19 September hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan suspek berusia antara 26 hingga 56 tahun itu adalah berkaitan satu kes pecah rumah di Bandar Utama di sini dengan anggaran nilai kerugian RM 2 juta pada 14 September lalu.

“Dua daripada mereka adalah suspek utama manakala seorang merupakan pembeli barangan yang dicuri dan dua lagi ditahan untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Suspek utama berusia 31 tahun itu dikesan mempunyai 37 rekod jenayah lampau membabitkan 31 kes jenayah termasuk kes pecah rumah dan enam kes dadah.

“Dia juga mendedahkan penglibatannya dalam beberapa lagi kes pecah rumah di sekitar daerah ini,” ujarnya.

Menurut Adzli, kumpulan itu dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah tersebut sejak awal tahun ini dengan menyasarkan kediaman mewah tidak berpenghuni dengan cara mengumpil pintu rumah.

Ujar beliau, penahanan ahli kumpulan berkenaan berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di Sungai Petani.

“Tiga suspek telah direman sehingga 9 Oktober ini untuk tindakan lanjut sementara dua lagi diberi jaminan polis setelah diambil keterangan,” ujarnya

Tambahnya, polis sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai teman wanita salah seorang suspek yang telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Sekyen 457 Kanun Keseksaan dan Sekyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI