fbpx

Rakyat Selangor balik dari Sabah dapat saringan bersasar percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM – Saringan bersasar secara percuma disediakan kepada seluruh rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu dalam membantu Kementerian Kesihatan dan mempermudah pengesanan jangkitan Covid-19.

Katanya, pendekatan itu diambil selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) petang ini dan Mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Selangor (STFC) semalam secara dalam talian.

“Saringan ini boleh dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn. Bhd bermula Ahad ini.

“Rakyat negeri ini harus memberikan dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap di Selangor seperti bil air, elektrik dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, senarai klinik terdekat boleh dilayari menerusi https://selcareclinic.com/our-clinics/ .

Tegas Amirudin, saringan turut akan dilakukan di dewan orang ramai di daerah Kuala Selangor pada suatu tarikh dan lokasi yang akan dimuktamadkan kemudian.

“Selain itu, operasi semua jenis kelab malam, bar, restoran yang berkonsepkan bar di seluruh negeri Selangor juga dihadkan sehingga 11.00 malam sahaja berkuat kuasa esok.

“Kita juga akan mewujudkan empat Pusat Tahanan Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di beberapa lokasi yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirudin menjelaskan kerajaan negeri telah menambaihbaik aplikasi SELangkah termasuk ciri peta dan semakan premis bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkenaan premis-premis yang telah dilaporkan terdedah kepada Covid-19 termasuk tarikh sanitasi premis berkenaan.

“Di samping itu, adalah semakan kendiri dalam membuat semakan silang sama ada pengguna ada mengunjungi premis-premis yang berisiko dalam tempoh inkubasi.

“Dalam masa terdekat, pengguna juga boleh memeriksa sama ada mereka terdedah kepada individu lain yang telah disahkan menghidap Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang persidangan dan perhimpunan secara beramai-ramai adalah tidak digalakkan dan had maksima pada satu-satu masa adalah seramai 250 orang.

“Bilik Gerakan Covid-19 berpusat di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz akan dilanjutkan sehingga pukul 7 malam,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI