fbpx

Hospital Pasir Gudang dijangka siap 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja membina Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru mula dijalankan Selasa lalu dan dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2024.

PASIR GUDANG – Penduduk daerah ini boleh menarik nafas lega setelah rancangan pembinaan Hospital Pasir Gudang yang tergendala sejak dua tahun lalu dijangka siap pada 2024.

Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu akhirnya dapat direalisasikan menerusi kerja pembinaan hospital itu yang bermula semula pada Selasa lalu.

Katanya, projek tersebut sebenarnya tercetus pada 2014 ketika beliau menjadi Menteri Kabinet, namun Kerajaan Persekutuan ketika itu perlu memberi keutamaan kepada projek lain.

“Namun, ketika menjadi Menteri Besar, saya telah memberi cadangan keutamaan projek hospital ini kepada Kerajaan Persekutuan. Alhamdulillah akhirnya berjaya, maka pecah tanah berlangsung pada 2018.

“Akan tetapi susulan peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), projek ini tertangguh sehinggalah pada minggu lalu,” katanya ketika berucap selepas Majlis Doa Selamat Sempena Kerja-Kerja Mula Pembinaan Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Sebelum ini pelbagai pihak telah menyuarakan agar sebuah lagi hospital dapat dibina di Johor Bahru khususnya di Pasir Gudang memandangkan kesesakan berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pernah bertitah terhadap keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di Pasir Gudang susulan insiden pencemaran sisa kimia di kawasan berkenaan pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan AM Concept Sdn. Bhd., Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, pihaknya merupakan kontraktor dilantik kerajaan untuk membina sebuah kompleks Hospital Pasir Gudang di atas sebidang tanah seluas 50 ekar di Bandar Seri Alam.

Katanya, pembinaan hospital yang menelan kos RM375 juta itu akan mempunyai enam tingkat.

“Hospital ini dijangka boleh memuatkan 304 katil dan 1,000 ruang meletak kereta serta dilengkapi bilik klinikal dan bilik wad,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI