fbpx

Seorang ditemui, empat nelayan masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi awal lima orang yang dilaporkan hilang semalam.

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

KUCHING – Seorang nelayan antara lima yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Po di sini semalam (16 Sept) telah dijumpai selamat sekitar pukul 9 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa, Richard Chee, 38, telah dijumpai selamat oleh nelayan tempatan di Pulau Burung.

“Mangsa telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan usaha mencari empat mangsa lain diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Dalam masa yang sama, seorang jurucakap maritim telah memberitahu bahawa mangsa yang dijumpai turut menyertai operasi pencarian.

“Oleh kerana mangsa yang terselamat berada dalam keadaan sihat dan baik, mangsa telah dibawa terus bersama pihak Maritim untuk menunjukkan lokasi bot karam.

“Mangsa turut memberitahu kesemua rakan yang masih hilang memakai jaket keselamatan semasa detik mencemaskan itu,” katanya lagi dalam satu temuramah oleh Sarawak Edition melalui Facebook live pagi tadi.

Kehilangan krew bot nelayan terbabit telah disedari oleh isteri kepada salah seorang mangsa apabila dia telah menerima panggilan telefon daripada suaminya ketika saat-saat cemas itu.

Dalam video live yang sama, isteri mangsa memberitahu bahawa suaminya, Bong Fah Yew, 48, telah menghubungi dia sekitar pukul 8 malam semalam.

“Suami saya telah menghubungi saya dan memberitahu bahawa kapal yang dinaiki dia bersama empat lagi rakan lelaki sudah hampir tenggelam akibat cuaca yang teruk. Selepas 10 minit kemudian, usaha untuk menelefon dia semula gagal.

“Dia turut memberitahu bahawa dia telah menghubungi seorang lagi kawan beliau yang juga seorang nelayan untuk memaklumkan hal yang sama,” katanya.

Selain itu, Adenan Suna, 44, dan dua lagi mangsa masing-masing warga Indonesia dikenali sebagai Harly dan Ani masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat diketuai oleh komander operasi TPgB Mohamad Meramit.

Satu Pusat Kawalan Bomba (PKB) juga telah dibuka di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) Muara Tebas sekitar pukul 9 pagi tadi.

Di samping itu, Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching turut mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sejurus menerima laporan dan satu pangkalan hadapan telah ditubuhkan di jeti Komtas bagi kerja-kerja koordinasi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI