fbpx

Jangan terperangkap strategi kuasa besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

MINGGU lalu, Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe melawat Malaysia dan telah bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lawatan itu, selain berlaku beberapa hari sebelum Sidang Maya ASEAN membabitkan 10 Menteri Luar ASEAN dan juga Setiausaha Luar Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, menimbulkan persoalan kepada pemerhati geopolitik tempatan apabila tiada liputan media diberikan.

Menteri itu turut melawat Indonesia dan Brunei sebagai satu cara mempengaruhi negara-negara itu sebelum sidang ber­kenaan. Pada sidang itu, Pompeo telah menggesa negara-negara Asia Tenggara untuk memutuskan hubungan dengan syarikat-syarikat dari China yang terlibat membina pulau di Laut China Selatan.

Negara-negara ASEAN berada dalam dilema memilih salah satu antara kedua-dua kuasa besar itu ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Malaysia mempunyai hubu­ngan ketenteraan yang baik dengan AS, dengan beberapa eksesais kerap dilakukan antara kedua-dua negara. Di satu sisi, hubungan ekonomi dengan China bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan.

Pencerobohan kapal-kapal China di perairan negara ini bukanlah satu rahsia. China juga memberi tekanan dengan diplomasi perangkap hutang yang telah memerangkap negara Sri Lanka dan terkini, Laos yang mungkin diisytiharkan bankrap berikutan kesukaran membayar pinjaman bank-bank China.

AS pula tidak mempunyai rekod yang baik sebagai sekutu apabila meninggalkan pasukan sekutu mereka di Timur Tengah. AS juga kerap mengenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan sebagai ugutan kepada negara-negara yang lebih kecil.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dengan tepat telah membawa kegusaran terhadap langkah yang bakal diambil Malaysia.

“Negara kita terletak dalam rantau krisis, apa-apa boleh berlaku terutama di Laut China Selatan yang mana AS dan China berada dalam persaingan strategik.

“Perkara utamanya ialah kita mesti nyatakan bahawa ASEAN tidak mahu memilih antara ke­dua-duanya,” ujarnya.

Bagi penganalisis geopolitik, Dr. Azmi Hasan, adalah kritikal bagi Malaysia tidak menyebelahi mana-mana pihak dua kuasa besar ini tetapi bijak menggunakan pertikaian Amerika China supaya mendapat manfaat.

“Tidak guna kita menyebelahi Amerika semata-mata untuk mengelak daripada dibuli China kerana minat Washington hanya untuk penuhi agenda mereka.

“Tetapi jika kita bijak mengemudi pertikaian dengan mencu­ri peluang berbaik dengan ­kedua-dua kuasa besar dan hanya menyebelahi antara satu pihak sekali-sekala hanya apabila ia mendatangkan manfaat kepada kita, maka kita boleh memanfaatkan kehadiran kuasa besar di Laut China Selatan supaya beri manfaat kepada kita,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia mempunyai leverage dengan keanjalan dasar luar berhubung pertikaian di laut itu.

“Vietnam umpamanya tekad untuk bersama AS, tetapi kita anjal kerana pada pendapat saya ada kalanya kita bersama AS contohnya dalam isu West Capella, dan ada kalanya bersama China.

“Hakikatnya ialah kita beri isyarat bahawa Kuala Lumpur boleh berubah dasar bergantung kepada manfaat yang bakal kita perolehi,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI