fbpx
EDDIN mempunyai sifat patriotisme yang menebal sehingga banyak menyampaikan diskusi mengenai aspek kenegaraan.–MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

K2

Mewarisi sifat patriotisme mendiang bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT pertama kali bersua muka dengan lelaki berusia 50 tahun itu, penulis kagum dengan kepetahannya berbicara dengan bahasa Melayu bagai sasterawan. Walaupun tidak ada setitik pun darah Melayu yang mengalir dalam tubuhnya, dia begitu menyanjung tinggi bahasa kebangsaan itu.

Sesekali individu bernama Eddin Khoo itu bertutur bahasa Melayu loghat Kelantan untuk menghiburkan suasana ketika penulis menemu bualnya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kepentingan penguasaan bahasa Melayu adalah sangat penting. Bahasa Melayu adalah nadi negara kita.

“Saya sendiri terpikat dengan keunikan bahasa Melayu terutamanya loghat-loghat yang berbeza mengikut kawasan,” katanya kepada K2.

Akuinya, dia sendiri dapat mendalami bahasa Melayu dialek Kelantan dengan mudah setelah beberapa tahun menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Biarpun berdarah kacukan Cina dan India, kecintaan Eddin terutamanya terhadap kebudayaan Melayu sangat mendalam. Tidak salah jika lelaki ini dianggap memiliki jiwa Malaysia sejati kerana nilai keharmonian ketiga-tiga kaum utama di Malaysia itu bagai sebati di dalam dirinya.

Berjiwa patriotisme yang tinggi, anak kepada legenda sejarawan ulung serta salah seorang insan yang membantu menggubal Rukun Negara, mendiang Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Khoo Kay Kim itu dilihat mewarisi sifat-sifat bapanya.

 

EDDIN bersama mendiang bapanya, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Khoo Kay Kim yang banyak mempengaruhi sifat dan pendiriannya sehingga kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan.

 

Bak pepatah Melayu bapa borek, anak rintik itulah gambaran yang dapat ditujukan kepadanya.

“Saya sebenarnya rapat dengan ayah. Saya juga banyak terlibat dengan hasil karyanya dan adakalanya saya menjadi penyunting untuk hasil karyanya.

“Dalam masa sama, saya juga adalah pengkritik utama kepada bapa saya dan kami sering berselisih faham dan berdebat kerana perbezaan pendapat. Walaupun berdebat, ia masih dalam keadaan harmoni dan ayah saya amat menggalakkan perdebatan itu,” katanya.

Tambahnya, sewaktu kecil dia sering mengikuti bapanya pergi ke beberapa negeri untuk menyampaikan ceramah bagi menyemarakkan nilai dan semangat perpaduan menerusi Rukun Negara.

“Bagi saya Rukun Negara ini adalah satu nyawa. Rukun Negara bukan hanya prinsip-prinsip kenegaraan, sebaliknya ia adalah proses bagaimana kita dapat menghayati sifat negara ini.

“Kita sebenarnya hanya tahu menghafal dan melafazkan lima prinsip Rukun Negara tetapi kurang untuk menghayati dan memahami tentang penggubalan Rukun Negara itu sendiri,” katanya.

Menubuhkan Pusaka

Tambahnya, untuk menghayati nilai-nilai Rukun Negara kita harus faham tentang latar belakangnya terlebih dahulu.

Katanya, menghafal Rukun Negara sahaja tanpa pemahaman bagaikan tidak bernyawa.

“Apabila kita lafaz tentang Rukun Negara, kita lupa pada bahagian pertamanya iaitu ‘maka kami rakyat Malaysia berikrar akan…’’.

“Kita sisihkan yang bahagian pertama dan hafal lima rukun sahaja oleh itu kita akan tidak dapat menghayati latar belakang kenapa rukun negara ini diwujudkan,” tegasnya yang meminati seni tradisi Melayu seperti wayang kulit, makyung dan menora.

Dalam pada itu, kecintaannya terhadap kebudayaan Melayu juga telah mendorong dia menubuhkan sebuah pertubuhan kebudayaan dikenali sebagai Pusaka. Matlamat penubuhan Pusaka adalah untuk mewujudkan sebuah arkib ilmu terutamanya mengenai budaya dan sejarah Malaysia.

Eddin menjelaskan, seni merupakan sebahagian daripada jiwanya dan sewaktu kecil dia cukup terpegun dengan kesenian Melayu.

Ceritanya, dia sendiri dibesarkan dan diasuh oleh orang Melayu yang tinggal bersama keluarganya.

“Sebelum saya boleh melafazkan ibadat dalam agama saya, saya terlebih dahulu boleh melafazkan selawat Nabi Muhammad. Pengasuh saya sering melafazkan selawat sewaktu mengasuh saya ketika kecil,” katanya.

 

EDDIN menunjukkan salah satu bukunya yang sarat dengan elemen budaya Melayu seperti wayang kulit.–FARIZ RUSADIO

 

Tambahnya, keluarganya sendiri tidak pernah membantah dan mereka menerima dengan terbuka cara asuhan pengasuhnya.

Sewaktu kecil juga dia sering menonton program Dendang Rakyat yang disiarkan di televisyen.

Dia begitu mengagumi dan menggemari penyanyi Melayu seperti Allahyarham Tan Sri S.M Salim, Datuk M. Daud Kilau dan lain-lain lagi.

Ketika menjawat jawatan sebagai wartawan di salah sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Eddin juga membuka ruang kepada penyiaran penulisan berkaitan sastera Melayu dalam akhbar itu.

Sewaktu kecil juga dia berpeluang bertemu dengan sasterawan-sasterawan seperti Pak Sako dan Kamaluddin Muhamad atau dikenali sebagai Keris Mas yang merupakan rakan-rakan bapanya.

Bercerita mengenai latar belakang pendidikannya, Eddin berkata, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah La Salle di Petaling Jaya bagi peringkat rendah dan menengah. Kemudian, dia terbang ke Britain untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Newcastle dalam bidang falsafah politik dan falsafah Islam.

“Pada mulanya saya mengambil jurusan falsafah tulen pada ketika itu. Tetapi disebabkan kurangnya penuntut, jurusan itu telah ditutup dan akhirnya saya memilih untuk mengikuti bidang falsafah Islam,” katanya.

Tambahnya, setelah menamatkan pengajian, dia pulang ke tanah air dan menjadi pensyarah di sebuah universiti pada usia 22 tahun.

Pada tahun 1999, Eddin telah terbang ke London untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang arkeologi.

Kesungguhan Eddin dalam menuntut ilmu juga turut ditunjangi nasihat bapanya agar menggali sedalam-dalamnya ilmu pengetahuan.

“Apabila kita menimba sesuatu ilmu pengetahuan, kita harus berterusan menggalinya seakan pengetahuan itu tidak ada batasannya. Terokailah apa yang ingin kita ketahui.

“Inilah pesan ayah saya yang akan sentiasa saya pegang,” katanya yang menyifatkan kehilangan mendiang bapanya pada Mei tahun lalu memberi kesan yang amat mendalam terhadap dirinya.

Projek Bina Bangsa

Dalam pada itu, bersempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Rukun Negara, Pusaka yang diasaskan oleh Eddin dengan dukungan Allianz Malaysia Berhad telah melancarkan buku berjudul Rukun Negara: Selayang Pandang yang merupakan buku pertama daripada 10 buku dalam penerbitan bersiri Projek Bina Bangsa.

Naskhah ditulis Eddin itu memperincikan sejarah yang membawa kepada pengisytiharan prinsip Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 dalam usaha memupuk perpaduan rakyat Malaysia.

“Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita semua dijalin dengan rasa kebersamaan dalam kelompok masyarakat sehingga kita boleh wujud sebagai sebuah negara.

“Maka prinsip dalam Rukun Negara perlu menjadi saluran untuk kita berpakat menyuburkan ingatan terhadap kebersamaan ini melangkaui catatan dalam nota-nota sejarah,” ujarnya.

Melalui Projek Bina Bangsa, sebanyak 10 naskhah buku yang meneroka asas-asas pembentukan bangsa Malaysia diterbitkan. Antara naskhah lain yang diterbitkan melalui projek itu termasuklah berjudul Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Pembentukan Malaysia.

Penerbitan ilmiah itu berhasrat dapat menerapkan pemahaman sejarah yang baik dalam usaha memupuk kesedaran berhubung pegangan prinsip sebagai warga Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN