fbpx

4 pengarah ke Penjara Bentong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIMA tertuduh yang didakwa membuang bahan berbahaya ke Sungai Gong keluar dari Mahkamah Sesyen di Selayang baru-baru ini. Gambar Fail

SELAYANG – Lima lelaki terma­suk empat beradik yang didakwa atas pertuduhan melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang dua minggu lalu terkedu apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Mereka terdiri daripada empat pengarah sebuah syarikat membaiki jentera berat yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 52, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50, dan Yip Kok Weng, 60, serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 59.

Kesemua mereka yang berada di kandang tertuduh dilihat saling berpandangan selepas mende­ngar keputusan mahkamah.

Hakim Syafeera Mohd. Said membuat keputusan itu selepas mendengar dan menimbang hujah berhubung permohonan jaminan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili kelima-lima tertuduh.

Disebabkan kesemua tertuduh tidak boleh diikat jamin, mereka dihantar ke Penjara Bentong di Pahang sementara me­nunggu sebutan semula kes tersebut pada 27 Oktober depan.

Penjara Bentong tempat lima tertuduh kes pencemaran Sungai Gong ditempatkan sementara menunggu sebutan semula kes pada 27 Oktober depan.

Ketika prosiding, Muhammad Iskandar tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin selain perbuatan yang dilakukan adalah serius.

“Dalam kes ini telah menyebabkan enam juta penduduk di Selangor terjejas dan mereka terpaksa beratur untuk mengambil air selama lima hari. Isu ini juga telah mendapat perhatian pucuk pimpinan teratas negara.

“Jika mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan ini, saya memohon untuk mengenakan jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan yang rendah dengan alasan kesemua mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Ketika kejadian, anak-anak guam saya yang menyerah diri ke balai polis selain mereka juga bersedia untuk memberi pasport kepada mahkamah jika jaminan diberikan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, kelima-lima tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. dilupuskan ke dalam alur air.

Ia kemudian mengalir ke Su­ngai Gong dengan mengetahui bahawa mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan­ sama dari bengkel sama tanpa lesen yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu­ mem­peruntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Su­ngai Dua, Rawang di sini antara 2 hingga 3 September lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu.

Terdahulu, kelima-lima tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi dan kemudian dibawa polis ke Penjara Bentong pada pukul 11.05 pagi selepas selesai prosiding pendakwaan.

Ekoran pencemaran minyak dari bengkel itu pada 3 September lalu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita ba­ginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kemudian membuat keputusan untuk merobohkan semua kilang terutama premis haram yang terletak berhampiran sungai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI