fbpx

Pemandu lori cedera ditetak, lima lelaki diberkas dalam 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Tidak sampai 24 jam, lima lelaki yang dipercayai menetak seorang lelaki dalam kejadian samun di Lorong Kledang Utara, Taman Arkid di Menglembu dekat sini semalam berjaya diberkas polis hari ini.

Kesemua lelaki berusia 19 hingga 37 tahun itu ditangkap dalam serbuan berasingan di daerah ini antara pukul 1 hingga 6 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian samun pada pukul 4 petang semalam, seorang pemandu lori berusia 50 tahun cedera di pergelangan tangan kanan akibat ditetak dengan parang.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di rumah teres dua tingkat bersama isteri dan seorang anak itu hanya bersendirian dan tiada sesiapa yang melihat kejadian itu berlaku.

“Mangsa yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) memberitahu, ketiga-tiga suspek yang memecah masuk ke rumahnya dan mengambil wang tunai RM500 itu memakai topeng.

“Tiada sesiapa nampak kejadian tersebut kerana ahli keluarga mangsa tiada di rumah. Bagaimanapun, jiran lelaki itu memaklumkan yang dia hanya mendengar bunyi bising dari rumah mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Nordin memberitahu, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa dan jiran sekitar kawasan tersebut.

Menurut beliau, operasi mengesan suspek segera dijalankan pasukan Cawangan Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Task Force Balai Polis Jelapang dengan kesemua suspek berjaya diberkas hari ini.

Katanya, daripada siasatan yang dijalankan, kesemua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Kita merampas sebilah parang berwarna perak berhulu hitam panjang dan sebuah Proton Iswara Aerobik berwarna kelabu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kesemua lelaki yang ditahan itu mengaku melakukan jenayah tersebut dan direman tujuh hari untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI