fbpx

Kelantan komited cungkil bakat baharu e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSLAN (tengah) dan Mohd. Zain (tiga dari kanan) bersama pemenang-pemenang Kejohanan PUBG Mobile:Battle Of Champion (Kelantan Series) di Kompleks Darul Naim, Kota Bharu. - ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan komited dalam mencari bakat-bakat baharu terutamanya golongan belia di negeri ini untuk membentuk pasukan sukan elektronik (e-Sukan) sebagai persediaan awal menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Johor tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Roslan Wan Hamat berkata, setakat ini seramai 24 orang pemain e-Sukan telah dipilih dalam senarai awal untuk mewakili negeri Kelantan.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 12 orang pemain akan dipilih untuk mengambil bahagian dalam tiga kategori e-Sukan pada temasya itu nanti.

“Kita melihat pasukan e-Sukan Kelantan mempunyai potensi yang baik, malah ada dalam kalangan pemain kita digeruni lawan dari negeri lain berdasarkan ranking semasa mereka.

“Bagaimanapun, kita optimis untuk menentukan sasaran pingat pada Sukma di Johor kerana masih banyak perkara dalam perancangan dan ia akan membuahkan hasil tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan PUBG Mobile:Battle Of Champion (Kelantan Series) di Kompleks Darul Naim semalam.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Muhammad Imran Mansoor dan individu penting yang membangunkan e-Sukan Kelantan iaitu Pengerusi Eskel Event Sdn. Bhd. (Eskel), Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof.

Pada pertandingan tiga kategori itu, Kumpulan RMC Glazer dinobatkan sebagai johan siri 1, Kumpulan Dato Sri Esport untuk siri 2, manakala hadiah utama sebanyak RM1,000 dimenangi kumpulan Silent Squad Gaming (SSGG) KOKMG.

Sementara itu, Muhammad Imran berkata, MSN kini dalam fasa perancangan untuk membangun e-Sukan di negeri ini dengan kerjasama daripada pihak Eskel yang akan turun ke sekolah-sekolah bagi mencungkil bakat-bakat baharu.

Katanya, ia merupakan persiapan awal untuk negeri Kelantan menjadi tuan rumah Sukma edisi ke-21 yang dijangka berlangsung pada 2024 nanti.

“Sekarang ini, kita telah menyarankan pihak sekolah untuk membuka kelab e-Sukan sekali gus menarik minat pelajar-pelajar untuk menjadi wakil negeri nanti.

“Perancangan kita mengambil masa selama empat tahun. Apabila kita dapat mencungkil bakat baharu di sekolah, mereka akan dilatih untuk fokus pada Sukma di Kelantan 2024,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI