SERDANG – Kelicikan satu sindiket mencuri pakaian di pasar raya yang digelar Geng Bonda tidak berpanjangan selepas polis berjaya menahan lapan individu dalam beberapa siri serbuan berasingan pada 10 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja kedai pakaian kanak-kanak di Puchong 20 Julai lalu memaklumkan tentang kehilangan beberapa helai pakaian bernilai RM8,182 dan semakan melalui televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati ia telah dilarikan oleh tiga wanita.
“Susulan maklumat itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Cawangan D4 (Risikan Jenayah) telah melakukan risikan selama tiga minggu bagi mengenalpasti serta menjejaki suspek.
“Hasil risikan yang dilakukan telah membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 30-an dan empat wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an di sebuah rumah di Klang,Selangor,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD Serdang di sini hari ini.
Menurut Ismadi, tangkapan seterusnya melibatkan dua lagi suspek warga tempatan berusia 20-an dan 40-an di dua buah rumah di Klang serta Petaling Jaya yang dijadikan stor bagi menyimpan pakaian yang berjaya dicuri.
“Pihak polis turut berjaya merampas sejumlah besar barangan hasil curi yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000.
“Semakan ke atas suspek yang ditahan mendapati hanya dua daripada lapan yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka ini dipercayai merupakan serpihan daripada sindiket curi susu bayi yang pernah ditumpaskan sebelum ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Ismadi berkata, sindiket ini akan pergi ke sekurang-kurangnya lima premis menjual pakaian di sekitar Lembah Klang dalam satu hari dan hanya melakukan jenayah pada hari Jumaat, Sabtu serta Ahad.
“Suspek juga akan membahagikan tugasan sesama mereka seperti mengalihkan perhatian pengawal keselamatan dan juruwang serta menyorokkan baju yang dicuri ke dalam troli serta kereta sorong bayi yang dibawa.
“Pakaian-pakaian yang dicuri ini seterusnya akan dijual secara pukal kepada pembeli yang akan menjual kembali barangan tersebut secara borong di laman sosial Facebook,” jelasnya.
Difahamkan, sindiket berkenaan telah aktif sejak tahun lalu dan penahanan lapan suspek ini sekaligus menyelesaikan hampir 30 kes curi dalam pasar raya di sekitar Lembah Klang.
Tambah Ismadi, pihak polis kini sedang mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – K! ONLINE














