fbpx

Taufan kuat hentam selatan Jepun, bawa angin lebih 200 kilometer sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OMBAK besar menghempas pantai ketika Taufan Haishen menghampiri bandar Makurazaki di wilayah Kagoshima hari ini. - AFP

TOKYO – Satu taufan kuat yang berpotensi membawa hujan paling lebat dan angin cukup kuat untuk menterbalikkan kereta menghentam selatan Jepun hari ini, memaksa pihak berkuasa menggesa berjuta-juta penduduk supaya mencari perlindungan.

Bagaimanapun, Taufan Haishen menjadi lemah apabila menghampiri tanah besar Jepun tetapi ia kekal sebagai ‘ribut amat kuat’ dan ‘amat besar’.

Selepas membadai sebilangan pulau jauh di selatan Jepun, ribut itu menghampiri rantau di Pulau Kyushu petang tadi  manakala pihak berkuasa mengeluarkan nasihat perpindahan kepada lebih tujuh juta penduduk.

“Hujan paling lebat dijangka. Ia mungkin mencetuskan bencana tanah runtuh atau menyebabkan air sungai melimpah,” kata pengarah unit ramalan cuaca Agensi Meteorologi Jepun, Yoshihisa Nakamoto dalam satu taklimat televisyen.

Beliau menambah, peningkatan paras air laut akibat Taufan Haishen boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah.

Ketika ribut itu melintasi sebilangan pulau di Jepun awal hari ini, angin kencang menyebabkan pokok-pokok membengkok dan hujan lebat melanda.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Shinzo Abe memberi amaran bahawa banjir dan tanah runtuh mungkin berlaku.

“Kewaspadaan maksimum diperlukan kerana hujan paling lebat, angin ganas, ombak besar dan air pasang besar mungkin berlaku,” katanya.

Setakat pukul 7 petang tadi, Haishen berada sekitar 100 kilometer ke barat-barat daya bandar Makurazi dan membawa angin selaju 216 kilometer sejam iaitu cukup kuat untuk menterbalikkan kenderaan dan mematah tiang elektrik yang dibuat daripada kayu.

Ribut itu diramal bergerak ke utara menyeberangi pantai barat Kyushu sebelum membadai Korea Selatan esok.

Terdahulu, pihak berkuasa mengeluarkan arahan berpindah kepada 1.8 juta penduduk di kawasan terjejas, manakala 5.6 juta orang lagi menerima amaran peringkat rendah, lapor badan penyiaran tempatan, NHK.

Arahan berpindah di Jepun bukan mandatori walaupun pihak berkuasa menggesa orang ramai mematuhinya.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai-pegawai tempatan meminta orang ramai mengelak berada di pusat perlindungan yang sesak bagi mengurangkan jangkitan koronavirus dengan beberapa penempatan tidak dapat menerima lebih ramai orang kerana perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

Di beberapa tempat lain, penduduk terpaksa menempah hotel-hotel tempatan untuk mematuhi arahan berpindah.

Hotel Polaris in di bandar Shibushi, Kagoshima menyatakan bahawa semua 73 biliknya habis ditempah pada hujung minggu lalu.

Ribut itu memaksa hampir 550 penerbangan dibatalkan di samping menyebabkam perkhidmatan kereta api tergendala.

Menurut NHK, banyak kilang menangguhkan operasi termasuk tiga kilang pemasangan kereta milik Toyota.

Sejumlah 79,000 kediaman di Kagoshima dan wilayah berjiran, Miyazaki terputus bekalan elektrik petang tadi ketika Taufan Haishen menghampiri rantau itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI