fbpx

Hubungan jarak jauh pasangan berkahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, WARTAWAN EKSEKUTIF KOSMO!

AMAT sukar bagi pasangan suami isteri atau anak-anak jika mereka terpaksa tinggal berjauhan antara satu sama lain kerana terikat dengan kekangan kerjaya.

Ada yang berjaya mengharunginya dengan mudah dan tidak kurang juga yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk pergolakan emosi dan keruntuhan rumah tangga.

Akibat risiko berkenaan, ramai yang berhasrat untuk melepaskan jawatan dan kembali ke pangkuan keluarga. Bagaimanapun, ia terpaksa diketepikan kerana bimbang tidak mendapat pekerjaan di tempat baharu.

Bagi mereka yang tidak pernah berjauhan, perkahwinan jarak jauh (PJJ) mungkin dianggap mudah, apatah lagi jika isteri mampu berdikari dan menguruskan segala keperluan sen­dirian.

Namun, bagi penulis sendiri yang terjebak dengan situasi ini lebih enam tahun lalu, ia merupakan sebahagian daripada asam garam dalam mencari rezeki.

Apa yang penting tolak ansur, saling memahami, serta percaya pada qada dan qadar Allah SWT adalah kunci untuk berjaya dalam PJJ.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd. Saad berkata, terdapat beberapa tips yang boleh digunakan oleh pasangan PJJ supaya kebahagiaan mereka tetap utuh meskipun berjauhan antara satu satu lain.

Tips yang pertama kata Fau­ziah, adalah selalu berkomunikasi antara satu sama lain setiap hari meskipun masing-masing sibuk dengan tuntutan kerjaya.

“Zaman sekarang banyak medium komunikasi yang boleh digunakan untuk berhubung se­perti panggilan video, panggilan suara, Whatsapp, Telegram, ­Facebook dan Instagram.

“Perhubungan menggunakan medium komunikasi ini akan membuatkan pasangan itu akan merasa lebih dekat, lebih dihargai dan paling penting adalah rasa selamat meskipun berjauhan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah beliau, saling mempercayai antara satu sama lain juga adalah salah satu tips yang baik untuk berjaya dalam perhubungan PJJ.

“Suami perlu mempercayai isteri, begitu juga sebaliknya. Apabila saling mempercayai kehidupan PJJ akan lebih mudah, tiada prasangka dan sekali gus tiada perasaan curiga antara sama lain.

“Tips seterusnya adalah de­ngan meluangkan lebih banyak masa berkualiti dengan pasa­ngan masing-masing. Contohnya apabila cuti, fokus pada rumah tangga dan lupakan seketika hal kerja.

“Mungkin pada waktu itu, pasangan akan meluahkan apa yang terpendam dalam hati atau masalah yang mereka hadapi ketika berjauhan.

“Dengan cara ini, ia boleh mengelakkan perasaan itu dipendam sendirian sehingga akhirnya ia menjadi ‘barah’ dalam perhubungan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, banyak hubungan PJJ menemui kegagalan adalah di­sebabkan kehadiran pihak ketiga dalam sesebuah rumah tangga.

“Orang ketiga selalunya akan hadir apabila ada ‘lompong’ dalam kehidupan masing-­masing. Jika ruang ini diisi seeloknya, pasti PJJ akan lebih selamat dan sekali gus akan sentiasa bahagia.

“Selebihnya adalah tawakal kepada Allah, jika boleh usahakanlah supaya hidup PJJ itu tidak berpanjangan kerana banyak dugaan dan cabarannya,” nasihatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI