fbpx

Dikecam seksi, setiap orang ada hak – Daniella Sya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIELLA SYA

PELAKON Daniella Sya mengakui tidak terkejar-kejar untuk meraih populariti selepas melihat kejayaan yang dicapai oleh ramai rakan pelakon berbangsa Cina lain dalam pasaran naskhah Melayu.

Pemilik nama lengkap Daniella Sya Yeng Yeng sebaliknya berpendirian, tidak perlu bersaing dengan sesiapa untuk mencari pengaruh. Dia sebaliknya mengamalkan konsep untuk sentiasa berusaha dan rajin bekerja.

Daniella yang popular menerusi rantaian drama seperti Aurora Aishah, Jodoh-jodoh Annisa dan Isteri Bukan Untuk Disewa juga tidak mahu terlalu memikirkan soal populariti.
Ikuti penjelasan daripada pelakon kelahiran Kedah itu ketika ditemui pada majlis tayangan filem Takut Ke Tak baru-baru ini.

SERING dihujani kecaman netizen dalam media sosial gara-gara sering berkongsi gambar seksi, Daniella Sya sekadar berlapang dada kerana ramai yang menyangka dirinya seorang Muslim. – AMIR KHALID

 

KOSMO!: Boleh Daniella ceritakan lanjut tentang penglibatan dalam filem Takut Ke Tak?
DANIELLA SYA: Sebenarnya saya jarang berlakon naskhah seram, jadi apabila diberi tawaran membintangi filem ini saya jadi sangat teruja. Selain jalan cerita menarik untuk ditonton, gandingan pelakon yang datang daripada pelbagai latar belakang, membuatkan naskhah ini unik.
Lagipun ini kali pertama saya bekerja dengan pengarah Muzzamer Rahman.

Anda memegang watak hantu cantik dalam filem ini, boleh komen?
Ketika mendapat tawaran, saya fikir naskhah ini bersadur seram dan watak saya sebagai hantu yang betul-betul menyeramkan. Namun ketika masuk ke set penggambaran, baru saya tahu rupa-rupanya watak hantu yang saya bawa bukannya seram atau hodoh, sebaliknya berwajah cantik. Jadi penggambaran filem ini memberikan satu pengalaman menarik dan menghiburkan untuk saya.

Apa cabaran yang anda hadapi ketika penggambaran filem ini?
Ketika penggambaran pada pertengahan Januari lalu, saya baru beberapa minggu selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian ovari.
Jadi berlakon ketika kesihatan masih belum benar-benar pulih sangat memberi cabaran, tambahan pula ada adegan saya hampir terjatuh dari tangga. Pengarah dan kru produksi bimbang dengan keadaan ketika itu tetapi saya tetap berdegil untuk teruskan kerja. Sebab cerita ini sangat menarik, jadi sangat rugi kalau saya lepaskan peluang.

Ketika Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya, adakah anda bimbang sekiranya sambutan filem berkenaan tidak menggalakkan?
Saya yakin, kalau kita semua mengikut saranan kerajaan dengan memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan jaga penjarakan fizikal, semuanya akan okey. Bukan filem ini sahaja bahkan semua filem lain pun berdepan risiko kekurangan penonton di panggung wayang. Jika semua orang mainkan peranan masing-masing dengan jayanya, semuanya akan baik.

Berbanding rakan pelakon berbangsa Cina lain, nama anda agak ke belakang. Pernahkah anda cuba melakukan sesuatu untuk mencari pengaruh sama seperti orang lain?
Bagi saya, rezeki di Malaysia sangat luas. Tidak perlu untuk bersaing sesama sendiri sebab masing-masing ada kekuatan. Saya sangat berbangga lahir dan menjadi anak Malaysia, jadi perkara itu pun sudah cukup memberi saya peluang untuk melangkah jauh dalam industri tanah air. Asalkan rajin dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri.

Sedikit tentang hal perkongsian anda dalam media sosial yang sering dihujani kritikan netizen kerana berpakaian seksi. Boleh jelaskan?
Sebenarnya masih ramai yang salah faham dengan menganggap saya seorang Muslim. Sebab itu ketika kongsi gambar seksi, ramai yang mengecam.
Tetapi bagi saya tidak ada masalah sebab itulah namanya media sosial. Netizen ada hak untuk tulis komen, begitu juga saya yang ada hak berkongsi apa sahaja yang saya mahu.
Saya tidak pernah berasa rimas, sebab sebagai pelakon, perkongsian dalam media sosial juga menjadi salah satu bidang kerja. Jadi perlu berfikiran terbuka dan bersikap positif sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI