fbpx
MUNGKIN beginilah gambaran tentang mitos pusaran air yang menenggelamkan banyak kapal dan perahu di Lubuk Pusing, Sabak Bernam ratusan tahun lalu. – Gambar hiasan

Misteri pusaran air Lubuk Pusing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Satu ketika dahulu, banyak kapal atau sampan hilang tanpa ditemui di satu lubuk di Sungai Bernam di kampung ini. Semuanya disebabkan kawasan lubuk itu mempunyai pusaran air besar dikenali Lubuk Pusing ratusan tahun lampau.

Demikian pembuka cerita seorang penduduk asal Kampung Lubuk Pusing, Sabak Bernam, Selangor, Hasan Ashari Md. Fadellah, 57.

Katanya, nama kampung itu juga diambil daripada kejadian di lubuk tersebut.

Ujarnya, Lubuk Pusing pada ketika itu kawasan berbahaya disebabkan oleh pusaran airnya yang berpusing-pusing dengan deras dan ketika itu terdapat kapal dan sampan yang tenggelam kerana disedut pusarannya.

“Sejak itu, misteri Lubuk Pusing menjadi igauan ngeri kepada kapal dagang setiap kali melalui kawasan pusaran di sungai terbabit dan dikatakan berpuaka kerana apa sahaja melaluinya ‘ditelan’ pusarannya,” katanya.

Kini pusaran air di lubuk tersebut tiada lagi disebabkan bentuk muka buminya berubah dan air sungai di situ juga sudah kering dan menjadi daratan. Apa yang tinggal hanya tempat berbentuk kolam air.

Menurut anak kedua daripada tujuh beradik itu, kesemuanya berakhir dengan kehadiran Syeikh Ahmad Marzuki yang merupakan salah seorang anak kepada Sultan Aceh yang dipercayai mempunyai keramatnya sendiri susulan ketinggian ilmu agamanya terutama dalam bidang tasawwuf.

Dia turut memberitahu, Ahmad Marzuki menerima didikan agama sejak kecil di salah sebuah negara Arab selepas dihantar oleh ayahnya bagi mendalami ilmu agama.

Pengantin ghaib

Menceritakan lebih lanjut, Hasan memberitahu, setelah membuka penempatan di situ, Syeikh Ahmad Marzuki mendapati dakwaan berkaitan lubuk berkenaan ternyata benar susulan terdapat beberapa insiden termasuk pasangan pengantin ghaib tanpa ditemui setelah melalui pusaran itu.

Di samping itu, penduduk juga mendakwa, hanya sisa kayu sampan dan tongkang pernah dijumpai semula iaitu di parit baharu, Sungai Air Tawar terletak kira-kira 30 kilometer dari Lubuk Pusing.

Mereka yang mengetahui kezuhudan Ahmad Marzuki telah meminta bantuannya untuk mengatasi misteri yang melanda kampung tersebut.

“Ahmad Marzuki bertindak mencampakkan serban ke dalam lubuk pusing itu dan memohon kepada pertolongan Allah bagi mematikan lubuk tersebut.

“Ekoran itu, Lubuk pusing yang sebelum ini termasuk dalam laluan Sungai Bernam dikatakan telah terputus. Aliran sungai di kawasan lubuk tersebut juga didapati menjadi cetek seterusnya menjadi daratan seperti sekarang,” ujarnya.

Hasan yang merupakan cicit kepada Ahmad Marzuki itu berkata, perkara yang dianggap keramat itu diceritakan oleh salah seorang lelaki dikenali Haji Doraman Wahid ketika dia masih kecil.

Ujarnya, Doraman merupakan kumpulan kedua penduduk Kepulauan Sumatera yang dibawa Ahmad Marzuki ke Lubuk Pusing semasa kecil.

“Doraman ada menemui saya dengan menyatakan perlu mengetahui asal-usul supaya pada masa depan boleh menceritakannya kepada orang lain berhubung siapa moyang saya termasuk sejarah pembukaan Sabak Bernam ini.

 

 

“Peninggalan Lubuk Pusing kini boleh dilihat pada tiga buah kolam sahaja yang jaraknya antara 10 meter antara satu sama lain,” tegasnya.

Pesara kerajaan itu menjelaskan, peninggalan lubuk itu didapati sedalam melebihi 100 meter dengan keadaannya berbuih-buih namun tidak panas. Kedalaman peninggalan lubuk itu diperolehi selepas diukur menggunakan benang yang disimpulkan pemberat.

Hasan berkata, moyangnya berkelana menggunakan tongkang dari Kepulauan Sumatera bersama lima sahabat dikenali Datuk Menteri, Datuk Dalang (Panglima), Menteri Agama dikenali Haji Salim dan dua pembantu perempuan selepas berlaku peperangan di kepulauan tersebut.

Berdasarkan kisah diceritakan Doraman, Hasan memberitahu, mereka yang dikenali sahabat berenam terlebih dahulu berkunjung ke Kedah. Namun terpaksa melarikan diri atas sebab tertentu sebelum moyangnya menambahkan nama Marzuki dihujung pangkal namanya bagi mengelak dikesan oleh Kesultanan Kedah.

“Mereka kemudian tiba di Sungai Simum, Perak, namun tidak dibenarkan membina penempatan oleh pembesar ketika itu dan meneruskan perjalanan melalui Sungai Bernam.

“Sungai itu sukar dilalui susulan dirintangi kayu yang melintang sebelum dapat dialihkan dengan kuasa Allah selepas Ahmad Marzuki berdoa. Nama itu kemudian menjadi Sungai Bernam (sempena sahabat berenam).

“Mereka kemudian berehat di satu kawasan dan memasak di bahagian tanah yang dikorek dijadikan seperti dapur.

“Dapur itu dikenali sebagai sabak. Oleh sebab itu, kawasan itu dikenali Sabak Bernam. Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar tahun 1880-an,” terangnya.

BERITA BERKAITAN