fbpx

Maqis rampas 285 unit palet kayu dari Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kayu palet yang dirampas Maqis selepas menahan sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri semalam.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menahan sebuah lori membawa muatan 285 unit palet kayu tanpa permit import di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini semalam.

Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, lori dari Singapura itu ditahan pada pukul 5 petang.

Katanya, palet kayu berkenan dianggarkan bernilai RM1,765.97.

“Ketika menjalankan pemeriksaan di laluan import, didapati sebuah lori membawa muatan palet kayu sebanyak 285 unit tanpa permit import Maqis.

“Pemeriksaan mendapati palet kayu berkenaan dibawa masuk ke negara ini untuk kegunaan sebuah kilang elektronik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Nur Afifah, palet kayu atau hasilan kayu yang dibawa masuk tanpa permit membawa berisiko kepada industri pertanian negara.

“Hal ini kerana terdapat kemungkinan adanya perosak pada konsainan yang dibawa masuk apatah lagi selepas beberapa bulan lalu kami berjaya menahan kelapa kering import dengan perosak yang masih hidup,” ujarnya.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import Maqis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Nur Afifah turut memberitahu pihaknya komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan setiap keluaran pertanian yang diimport mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI