fbpx

Bermulanya inkues Nora Anne esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan yang membawa Koroner, Maimoonah Aid tiba di sebuah resort dekat Pantai, Seremban hari ini yang merupakan lokasi kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, tahun lalu.

KUALA LUMPUR  – Ada unsur jenayah atau tidak?

Persoalan itu akan dirungkai apabila esok bermulanya hari pertama inkues kes kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang akan berlangsung di Mahkamah Koroner Seremban di Negeri Sembilan sehingga 4 September depan.

Inkues yang dijadualkan berjalan selama dua minggu itu akan didengar di hadapan Koroner Maimoonah Aid apabila seramai 64 saksi utama dijangka akan dipanggil memberi keterangan.

Maimoonah menetapkan keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad sebelum ini diminta memperincikan senarai saksi penting daripada 102 yang dikemukakannya bagi mencari punca kematian remaja berkenaan.

Namun menurut Muhamad Iskandar, jumlah saksi itu bukan muktamad kerana ia tidak menghalang Koroner untuk menambah bilangan saksi.

Sepanjang inkues berlangsung, Badan Kehakiman Malaysia juga akan mengadakan penstriman langsung untuk tontonan umum yang boleh disaksikan melalui portal rasmi badan itu pada pautan www.kehakiman.gov.my dan sosial media rasmi di YouTube serta Facebook:The Malaysian Judiciary.

Pada 13 Ogos lalu, Maimoonah telah melawat tempat penginapan dan lokasi penemuan mayat Nora Anne.

Turut bersama melawat kawasan itu ialah Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam yang diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman.

Nora Anne dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill, Seremban pada 4 Ogos tahun lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 47, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 48, serta dua adiknya.

Pada 15 Ogos tahun lalu, polis kemudian mengesahkan Nora Anne yang berusia 15 tahun ketika kejadian itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata, selain itu, Nora Anne dipercayai mati akibat tekanan berpanjangan.

Katanya, terdapat juga kesan calar kecil pada kaki mangsa, tetapi ia tidak menjurus kepada kematiannya dan dipercayai mati dua sehingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui dan tidak lebih daripada empat hari.

Hasil bedah siasat juga mendapati tiada kesan gadis itu dirogol dan tiada juga elemen dilarikan atau diculik.

Pada 20 ogos tahun lalu, seorang pegawai pemasaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini atas pertuduhan membuat kenyataan membangkitkan kemarahan menerusi Twitter bahawa Nora Anne dirogol Orang Asli.

Lelaki itu, Muhammad Zikri Ibrahim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mengaibkan dan membuat kenyataan boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Orang Asli serta memecahkan serta menggugat keamanan awam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI