TAYLOR SWIFT

Retrospeksi Taylor Swift

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“KEBANYAKAN perkara yang saya rancang pada musim cuti ini tidak berjalan seperti dirancang, tetapi ada satu perkara yang saya tidak rancang, namun berlaku. Dan satu perkara itu ialah album studio ke-8 saya, Folklore.”

Itu antara bingkisan pemberitahuan mengejut penyanyi Taylor Swift saat mengumumkan kedatangan album indie yang mencetuskan fenomena luar biasa.

Untuk rekod, walaupun dilancarkan tanpa sebarang publisiti besar-besaran, album tersebut mencatat rekod sebagai album penyanyi wanita paling tinggi jumlah strim iaitu lebih 80 juta pada hari pertama pelancaran menerusi platform Spotify.

TAYLOR kembali ke dalam dakapan akar seninya iaitu lagu-lagu bersifat perlahan dan kimia luar biasanya dengan piano seperti pada awal kemunculan lebih sedekad lalu.

Kejayaan tersebut sekali gus memadamkan rekod lama yang dipegang Ariana Grande menerusi album Thank U, Next. Bukan sahaja itu, semua 16 buah trek dalam Folklore tersenarai dalam carta lagu Billboard Hot 100 dengan tiga single utamanya menghuni tangga 10 teratas iaitu Cardigan (nombor satu), The 1 (keempat) dan Exile (keenam).

“Saya tulis dan rakam muzik ini ketika dalam isolasi, namun tetap dapat bekerjasama dengan beberapa hero muzik kesayangan saya.

“Sebelum tahun ini, saya mungkin terlalu fikirkan bila waktu yang tepat untuk melancarkan muzik baharu, namun dengan waktu yang kita semua sedang lalui sekarang seperti memberi peringatan bahawa tiada apa yang terjamin,” dedah Taylor atau nama lengkapnya, Taylor Alison Swift yang bakal menjangkau usia 31 tahun pada hujung tahun ini.

Diam pecah rekod

Sehingga saat ini, Taylor masih belum terlibat dengan mana-mana wawancara atau temu bual dengan media berhubung Folklore. Apa yang dilakukannya hanya berkongsi beberapa catatan menerusi Instagram rasmi miliknya.

Luar biasanya, Folklore meroket tinggi dari segi jualan. Album berkenaan masih menggungguli carta album di Amerika Syarikat (AS) iaitu Billboard 200 untuk dua minggu berturut-turut.

“Naluri saya memberitahu, kalau kita buat sesuatu yang kita suka, kita patut letak sahaja dan kongsi bersama dunia.

“Itu suatu ketidakpastian yang cuba saya lakukan sewaktu hendak melancarkan nukilan ini,” lanjut kongsi Taylor dalam satu catatan di Instagram pada tanggal 23 Julai lalu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Taylor banyak melibatkan diri dalam dunia muzik pop, kehadiran Folklore membuktikan wanita kelahiran West Reading, Pennsylvania itu masih teguh bertunjangkan akar muzik introduksinya iaitu genre country.

Jalur country Taylor yang sarat dentingan piano, ternyata mempesona dan masih ‘mahal’.

Menerusi diskografi terbaharunya, para pemuja muzik dunia dengan mudah mengutuskan epitome bahawa Taylor adalah jelmaan Bruce Springsteen versi wanita atau dialah Bruce Springsteen millennial.

Selama 17 tahun bergelar pemuzik, Taylor sudah melakukan banyak perkara. Jika resumenya dibentangkan, dia dengan sewenang-wenangnya menjawat apa sahaja jawatan yang diinginkan.

BIARPUN kerjaya seni Taylor sering dikaitkan dengan kekayaan bapanya, Scott Swift yang merupakan penasihat kewangan kepada Merrill Lynch iaitu pemilik syarikat pengurusan pelaburan terbesar di AS, Taylor membuktikan dia juga pemuzik yang bekerja keras dengan kualiti muzik hebat.

 

Tamparan buat Scooter

Dari segi anugerah, namakan sahaja nama trofi yang tiada dalam genggamannya. Sebutkan sahaja Grammy, Video Music Awards (VMA) atau Billboard Awards, hampir semua trofi berprestij sudah diraihnya. Untuk Grammy sahaja, 10 buah trofi termasuk dua daripada mewakili anugerah Album Terbaik sudah menjadi miliknya.

Folklore juga menjadi karya Taylor yang paling tinggi menerima bintang pujian. Kebanyakan pengkritik memberikan markah A iaitu lebih 80 peratus terhadap album yang dijayakan secara indie tersebut.

“Dalam isolasi, imaginasi saya mengalir liar dan album ini adalah hasilnya, sebuah koleksi lagu dan kisah yang menderas seperti aliran air dalam rasa sedar.

“Menggunakan sebatang pen merupakan jalan saya melarikan diri ke alam fantasi, sejarah dan memori. Saya telah bercerita dengan sepenuh kemampuan yang ada bersama kasih sayang, keajaiban dan humor,” memetik luahan Taylor dalam Instagram pada 24 Julai lalu.

Karya-karya Taylor begitu puitis. Peminat mungkin muncul dengan teori tersendiri saat menterjemah setiap karyanya. Dia seorang penyanyi dan penulis yang bukan sahaja merakamkan album dan menyanyi, dia bercerita melalui seni.

Atas alasan tersebut, Taylor layak disamakan dengan legenda muzik dunia, Bruce Springsteen yang disifatkan suka berpuisi dalam berkarya.

Taylor dari zaman Tim McGraw (single pertamanya) sehingga sekarang, masih kekal dengan pegangan asas seninya iaitu bercerita secara tersirat dan berpuisi.

Folklore juga seperti memberi tamparan hebat terhadap syarikat rakaman lamanya, Big Machine bahawa dia mampu melakar kejayaan biarpun bekerja secara sendiri (indie) tanpa bantuan lelaki bernama Scooter Braun (pemilik Big Machine).

IRONI, selepas Taylor menghuni tangga pertama Billboard Hot 100 minggu lalu dengan single perdana daripada Folklore berjudul Cardigan, bekas teman lelakinya, Harry Styles pula meroket ke tangga pertama dengan lagu Watermelon Sugar.

 

Ciplak

Dalam kehangatan ulasan global terhadap Folklore, kemanisan yang dikecapi Taylor sedikit tercalar apabila didakwa menciplak logo jenama butik pakaian dalam dalam talian, The Folklore.

Atas dasar profesional, Taylor memutuskan untuk membuang perkataan ‘the’ pada logo barangan cenderahatinya sempena Folklore.

Menurut jurucakapnya, belum ada sebarang unit cenderahati dikeluarkan menggunakan logo berkenaan dan keputusan itu dibuat demi menghormati permintaan pemilik jenama berkenaan iaitu Amira Rasool.

“Kami peka dan memandang serius aduan penggunaan perkatan ‘the’ untuk cenderahati album Folklore. Belum ada sebarang cenderahati menggunakan logo itu dihasilkan ataupun dikeluarkan.

“Sebagai bukti murni, kami menghormati permintaannya dan serta-merta memaklumkan kepada semua yang sudah membuat tempahan cenderahati logo asal itu bahawa mereka akan menerima barangan dengan rekaan logo berbeza,” katanya.

Terdahulu, Rasool meluahkan menyatakan kekecewaan terhadap Taylor kerana menggunakan logo sama dengan jenamanya. Banyak pihak turut mempersoalkan, sama ada dia menjalin kerjasama dengan Taylor atau sebaliknya.

Ekoran penyelesaian pantas Taylor, Rasool memuji pasukan penyanyi terbabit, namun masih berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan pengurusan Taylor berhubung konflik berkenaan.

“Terima kasih atas sokongan semua. Pasukan Taylor Swift mengambil langkah pantas yang sangat bagus dengan membuang perkataan ‘the’ daripada semua cenderahati mereka. Kami dalam perbincangan dengan pasukannya mengenai langkah perlu untuk memperbetul perkara itu,” ujar Rasool.

TAYLOR sekarang berpacaran dengan seorang lelaki bernama Joe Alwyn, namun berjaya menyembunyikan hubungan cinta tersebut secara misteri daripada umum.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN