fbpx

Mati dalam kereta bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI dalam kereta Proton Wira inilah seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati selepas ditinggalkan secara tidak sengaja oleh bapanya selama 10 jam di Bukit Makmur, Sungai Petani kelmarin.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Rutin ­harian seorang bapa yang menghantar anak-anaknya ke sekolah dan rumah nenek bertukar pilu apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati selepas di­tinggalkan secara tidak sengaja di dalam sebuah kereta di Bukit Makmur, Sungai Lalang di sini kelmarin.

Mangsa berusia empat tahun itu ditemui di bahagian tempat duduk belakang kereta jenis Proton Wira milik bapanya dalam keadaan tidak bermaya dipercayai akibat sesak nafas selepas ditinggakan bersendirian selama hampir 10 jam.

Kereta tersebut dikatakan di­letak di kawasan kilang tempat bapa mangsa bekerja sebelum lelaki itu keluar memandu lori ke beberapa lokasi termasuk sekitar Sungai Petani, Baling dan Sik.

Jarak antara rumah mangsa di Kampung Bukit di sini dengan tempat kerja bapanya ialah kira-kira sembilan kilometer.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, jasad kanak-kanak itu ditemui kira-kira pukul 6.30 petang selepas bapa mangsa pulang dari bekerja.

“Bapa mangsa yang berusia lingkungan 30-an terlupa anak­nya berada di dalam kereta dan meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan enjin dimatikan dan tingkap bertutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, sebelum kejadian itu, lelaki terbabit telah menghantar kakak mangsa ke sebuah sekolah menengah di sini sebelum me­nuju ke tempat kerjanya di Bukit Makmur.

“Lelaki itu terlupa seorang lagi anaknya sedang tidur di tempat duduk belakang kenderaan miliknya yang mana dia sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir di sini,” ujarnya.

Menurut Adzli, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian memandu lori ke kawasan Sungai Petani, Baling, Sik dan beberapa lokasi lain.

“Dia pulang ke kilang dan me­nguruskan kerja di dalam bangunan pada pukul 4.30 petang. Ketika mahu pulang kira-kira pukul 6.30 petang, lelaki itu terkejut apabila melihat anak keempat daripada lima beradik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta,” katanya.

 

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi seorang kanak-kanak yang ditemui mati di dalam kereta di Bukit Makmur, Sungai Petani kelmarin.

 

Ujar beliau, bapa mangsa kemudian menghubungi MERS 999 untuk memaklumkan kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat pada pukul 10 pagi ini (semalam), bagaimanapun keputusan bedah siasat belum diperoleh kerana perlu menunggu laporan makmal,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam pada itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, kanak-kanak itu merupakan seorang yang sangat rapat dan manja dengan bapanya.

“Setahu saya, sudah menjadi rutin bapa kepada lima orang anak itu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah dan ke rumah nenek mereka pada setiap pagi memandangkan ibu mereka juga bekerja.

“Banyak destinasi dia kena pergi termasuk menghantar tiga anak ke sekolah dan biasanya arwah selalu dihantar ke rumah nenek, manakala anak bongsu pula ditempatkan di rumah pe­ngasuh yang terletak berdekatan rumah mereka di Kampung Bukit,” katanya.

Cerita beliau lagi, kanak-kanak itu juga kebiasaannya dihantar ke rumah nenek sebelah ibu atau bapanya secara bergilir-gilir.

“Saya difahamkan arwah sepatutnya dihantar ke rumah nenek sebelah bapanya di Kampung Bukit, Sungai Pasir di sini pada hari kejadian tetapi ayahnya terlupa kerana mangsa tertidur di tempat duduk belakang dan dia terus memandu ke tempat kerja.

“Meskipun neneknya hairan apabila cucunya tidak dihantar ke rumah, dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk kerana menganggap kemungkinan arwah cucunya pergi ke rumah nenek sebelah ibunya di Kampung Bukit Kechil, Sungai Pasir,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu ibu bapa kanak-kanak itu merupakan orang yang pe­nyayang dan mereka juga tidak menyangka perkara ini akan berlaku.

“Saya harap orang luar tidak menyalahkan mereka kerana ia hanya akan menambah kesedihan mereka sekeluarga.

“Arwah seorang yang cerdik dan sudah petah bercakap, telatahnya yang comel membuatkan pemergiannya cukup dirasai kami sekeluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI