fbpx

‘Haziq seorang saja yang hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arfah menunjukkan gambar kenangan Allahyarham Mohd. Zairul (belakang, kanan) bersama Noratiqah (belakang, kiri), Nur Qaseh (depan, kiri) dan Muhammad Haziq (depan, kanan).

KULIM – Tujuh daripada dua keluarga yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini kelmarin sempat bercuti di Pulau Pangkor, Perak dan Cameron Highlands, Pahang.

Kesemua mangsa dikatakan pergi ke Pulau Pangkor pada Ahad lalu bersama sebuah lagi keluarga.

Bagaimanapun keluarga ber­kenaan terus pulang ke Padang Serai, Kulim dekat sini dan tidak mengikut mangsa yang singgah ke Cameron Highlands keesokan harinya.

Kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Badlishah dan Kampung Indah di sini sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.

Mereka yang maut ialah pemandu, Mohd. Zairul Mat Isa, 34, ibunya, Fatimah Mat Isa, 68, isteri Mohd. Zairul, Noratiqah Abd. Hamid, 30, dan anak mereka, Nur Qaseh Damia, 4.

Tiga yang lain ialah sepupu Mohd. Zairul iaitu Hasliza Mahmud, 40, suaminya, Zulkifli ­Shuib, 49, dan anak mereka, Mohd. Alif Firdaus, 3.

Mangsa yang cedera pula ialah anak Mohd. Zairul iaitu Muhammad Haziq Zikri, 9, dan dua anak Hasliza iaitu Firash Mikael Azrie Shah, 11, serta Mohd. Shafiq Azrie Shah, 16.

Anak saudara Mohd. Zairul, Arfah Baharuddin, 34, berkata, dia dimaklumkan mengenai percutian keluarga berkenaan daripada datuknya, Zakaria Osman, 57.

“Keluarga seorang sepupu saya dari Padang Serai yang menaiki kereta Perodua Bezza berkonvoi dengan kereta dinaiki Mohd. Zairul ke Pulau Pangkor pada Ahad lalu.
“Mereka dikatakan menyewa kereta untuk bercuti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Arfah, dia dimaklumkan keluarga Mohd. Zairul kemudian menyambung percutian ke Cameron Highlands, manakala keluarga sepupunya terus pulang ke Padang Serai.

 

Keadaan kemalangan ngeri yang meragut tujuh nyawa.

 

Tambahnya, dia terkejut apabila menerima berita mengenai kemalangan itu daripada seorang saudaranya pada pukul 12 tengah malam selepas melihat gambar di Facebook.

“Kemalangan yang meragut tujuh nyawa ahli keluarga saya itu sukar diterima kerana menyebabkan anak sulung mereka yang terselamat menjadi yatim piatu sekelip mata,” katanya sambil menahan sebak.

Semalam Kosmo! melaporkan tujuh daripada dua keluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan ngeri pada pukul 5.45 petang.

Sementara itu, adik ipar ­Allahyarham Fatimah, Teh Hamid, 77, berkata, kali terakhir dia bertemu keluarga mangsa ialah pada Hari Raya Aidiladha lalu.

“Kami agak rapat dan antara kata-kata terakhir Fatimah ketika kami bertemu ialah dia me­ngingatkan saya mengenai siapa antara kami yang akan ‘pergi’ dulu,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Dalam pada itu di Ipoh, abang Mohd. Zairul, Mohd. Zakri, 37, berkata, arwah dan isterinya baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan pada 3 Ogos lalu.

Katanya, apa yang membuatkannya terlalu sedih apabila anak saudaranya, Muhammad Haziq Zikri yang terselamat dalam kejadian itu bertanyakan mengenai ibu bapa dan adik pe­rempuannya.

“Dia tanya, Pak Lang (gelaran Mohd. Zakri), sekarang ni Ha­ziq seorang saja ke yang masih hidup? Bagaimana dengan nenek dan yang lain-lain?.

“Dia memberitahu ketika kejadian dia sedang tidur dan ha­nya tersedar apabila telah berada di hospital. Saya tidak sampai hati hendak bercerita kepadanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Tambahnya, dia terlalu sedih apabila melihat gambar-gambar mengenai kemalangan itu tular di media sosial lebih-lebih lagi terbayangkan wajah mangsa-mangsa termasuk ibunya.

Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah pada pukul 8 malam tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI