fbpx
Gambar Hiasan.

Misteri harimau kumbang Kuala Pilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Kemunculan semula harimau kumbang selepas tiga tahun menghilang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk Kampung Mara Parit Tinggi dekat sini.

Walaupun cerita harimau kumbang bukanlah perkara ­asing buat mereka, namun kelibat haiwan pemangsa yang dilihat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah pada bulan lalu telah mengingatkan semula pengalaman penduduk terhadap binatang berkenaan.

UiTM itu berada di dalam kawasan kampung berkenaan.

Bagaimanapun, mengapa haiwan tersebut muncul semula ke kawasan kampung berkenaan masih menjadi misteri kerana ia terus hilang sehingga kini.

Rata-rata mereka mendakwa perkampungan di situ memang sering ‘dikunjungi’ haiwan liar berkenaan.

Seorang penduduk, Mahanon Jalil, 63, berkata, sebelum ini harimau kumbang pernah mengganas dengan menyerang dan memakan kambing ternakan selain sering menemui kesan tapak kaki haiwan tersebut di pinggir kampung.

Katanya, dia dan suami, Rahmat Samek, 67, mula menetap di kampung itu pada tahun 2003 sebaik lelaki itu bersara daripada tentera dan mula menternak kambing 10 tahun kemudian.

“Tiga tahun lepas, seekor kambing saya yang dilepaskan di kawasan kebun getah mati dibaham harimau. Kami syak harimau yang bunuh berdasarkan kesan gigitan pada kambing itu.

“Sebelum itu pun memang ada binatang ternakan penduduk yang dibaham harimau, namun kami sangat bersyukur harimau berkenaan tidak pernah mengganggu kami dan hanya lalu lalang di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

 

GAMBAR tular menunjukkan seekor harimau kumbang berlegar-legar di UiTM Kuala Pilah bulan lalu.

 

Bagi Irwan Mohd. Zain, 40, pula, dia pernah melihat kelibat harimau kumbang pada waktu malam kira-kira 50 meter dari kawasan rumahnya tiga tahun lalu.

Menurutnya, pada masa itu kawasan berkenaan merupakan kawasan hutan dan bukannya kawasan kebun getah seperti sekarang.

“Mujur pada masa itu saya ber­ada di dalam rumah, jadi saya tak bimbang sangat sebab sudah kerap mendengar cerita daripada orang kampung mengenai kewujudan harimau di perkampungan ini,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sudah lama penduduk tidak mendengar lagi cerita kelibat harimau berlegar-legar di perkampungan berkenaan, namun cerita berkenaan mula diperkatakan kembali selepas gambar seekor harimau kumbang berlegar di UiTM Kuala Pilah tular pada bulan lalu.

“Dah lama harimau kumbang tak keluar di sini, mungkin hari itu ia tersesat,” katanya.

 

KAMARUDIN menunjukkan kawasan hutan simpan yang menjadi habitat binatang liar dekat Kampung Mara Parit Tinggi, Kuala Pilah.

 

Bagi Kamarudin Zakaria, 64, pula, kelibat binatang liar di perkampungan berkenaan bukan membabitkan harimau sahaja, bahkan penduduk juga pernah melihat gajah dan juga tapir.

Menurut pesara kerajaan itu, pernah mereka melihat najis gajah di perkampungan berkenaan.

“Kampung ini kalau ikut laluan balak boleh tembus ke Je­lebu. Hutannya besar dan bercantum dengan daerah lain. Jadi tak hairanlah perkampungan ini merupakan kawasan ‘dia’ (haiwan liar),” katanya.

Malah, menurutnya, dia juga percaya dengan cerita orang dahulu mengenai harimau be­lang suka makan durian.

“Saya sendiri ada pokok durian, bila tiba musim durian ada antara durian saya yang telah dimakan oleh harimau. Saya percaya cerita orang dulu-dulu yang menyatakan kalau harimau makan durian, buahnya dibuka dengan elok.

“Bijinya juga dijilat bersih dan dikumpulkan di satu kawasan sahaja. Walaupun tidak pernah nampak harimau belang ber­kenaan, namun saya percaya ­dengan apa yang disampaikan oleh orang tua-tua dahulu,” katanya.

Kosmo! 25 Julai lalu melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah memasang satu unit perangkap bagi menangkap seekor harimau kumbang yang berlegar di UiTM Kuala Pilah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN