fbpx

Tiga lorong tikus di Sanglang ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faizal menyerahkan makanan dan barang basah kepada ibunya, Kholijah di lorong tikus yang ditutup susulan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Kuala Sanglang, Perlis hari ini.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Tiga lorong tikus ke Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Sanglang dekat sini ditutup mulai hari ini bagi mengelakkan orang luar daripada memasuki kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran tersebut.

Dua lorong tikus terletak di Kampung Kuala Sanglang manakala satu lagi di Kampung Tanah Timbul.

Penutupan lorong itu dilakukan selepas semua penduduk di dua kampung terlibat selesai menjalani saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang pada semalam.

Tinjauan ke lorong tikus yang boleh diakses melalui Kuala Sanglang, Kedah pada pagi ini mendapati laluan berkenaan ditutup dengan penghadang jalan.

Beberapa penduduk kampung dari sempadan Kedah dilihat datang menghulurkan bantuan makanan kepada saudara mereka yang dikuarantin selama 28 hari akibat penularan Covid-19 bagi Kluster Sivagangga di negeri ini.

Penduduk Kuala Sanglang, Kedah, Faizal Omar, 35, berkata, dia datang ke laluan itu untuk menghantar bekalan makanan termasuk ikan dan sayur kepada ibunya yang tinggal di Kampung Kuala Sanglang, Perlis.

“Saya mahu hantar barang basah kepada mak tetapi bila sampai sini tengok jalan tutup pula, jadi saya minta mak datang ke sini untuk saya serahkan barangan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ibunya, Kholijah Bakar, 58, akur dengan PKPD yang dilaksanakan di kawasan Sanglang.

“Saya yakin tindakan kerajaan ini adalah untuk menghalang wabak itu daripada terus merebak,” ujarnya.

Tambahnya, anaknya juga berpesan supaya menghubunginya jika memerlukan barang keperluan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad pada semalam memberitahu terdapat tiga lorong tikus di kawasan PKPD iaitu dua di Kampung Kuala Sanglang dan satu di Kampung Tanah Timbul yang akan ditutup pada hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI