fbpx

Salur kegiatan judi kepada polis bukan viralkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan Lazim ketika melawat pusat kawalan CCTV KK Super Mart di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram di ibu kota bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan dan serbuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perkara itu bagi mengelakkan gangguan siasatan serta ancaman kepada pengadu.

“Jika ada maklumat tentang kegiatan perjudian atau gangsterisme, salurkan maklumat dengan tepat kepada bilik gerakan kita untuk tindakan.

“Tak guna diviralkan kerana ia sedikit sebanyak akan ganggu siasatan sekali gus mengancam pengadu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Televisyen Litar Tertutup (CCTV) Pengecaman Wajah di KK Mart, Taman Desa Petaling di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya akan merahsiakan identiti pengadu yang menyampaikan maklumat.

“Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur 24 jam di talian 03 2146 0670 atau WhatsApp di talian 017 3169 779,” ujarnya.

Kelmarin, seorang pemilik gerai burger dikenali Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh, Selangor.

Pendedahan itu dibuat lelaki itu menerusi satu klip video berdurasi 8 minit 29 saat sebelum ditularkan di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung video berkenaan daripada Ketua Balai Sungai Buloh dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Video yang tular di media sosial itu boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Polis Diraja Malaysia dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.

“Maklumat yang diberikan dalam video tersebut juga tidak tepat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI