NOR AZIHAN MD. GHAZALI
KUALA SELANGOR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa, hari ini.
Beliau turut memaklumkan dua pertiga Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kuala Selangor dan sebahagian besar 13 cawangan turut mengambil keputusan yang sama untuk meninggalkan parti berkenaan.
Mohd Shaid berkata, pihaknya secara automatik akan melepaskan semua jawatan dalam parti sekaligus menjadi ADUN bebas.
“Keputusan untuk meninggalkan parti dilakukan jawatankuasa bahagian dan ketua cawangan ekoran kemelut yang melanda parti itu selepas penyingkiran Dr Mahathir selaku pengasas.
“Kami lihat perjuangan asal parti semakin tersasar daripada objektif asal penubuhannya iaitu untuk melawan sebuah kerajaan kleptokrasi,” katanya pada satu sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di Puncak Bestari di sini hari ini.
Jelasnya, pemimpin parti juga sanggup menjalin kerjasama dengan individu yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu demi kuasa.
“Kami juga kesal dan terkilan dengan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersekongkol dengan pihak di sebelah sana dan sanggup mengenepikan kepentingan dan perjuangan asal parti.
“Selain itu, parti juga tidak mendapatkan pandangan akar umbi mahupun perwakilan sebelum mengadakan kerjasama dengan gabungan baharu kerana rata-rata ahli di bawah tidak dapat menerima keputusan yang dibuat hanya di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu.
“Kebarangkalian kami akan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan Tun Mahathir Mohamad yang akan mendukung dasar Bersatu seperti mana di awal penubuhannya dulu.
“Sekarang ini di DUN, kita berada di blok bebas dan akan menjadi timbang tara iaitu menyokong segala yang baik sama ada kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan parti baharu akan ditubuhkan atas semangat Melayu dan akan bersifat inklusif dan moderat, berpegang pada janji, ikhlas serta berprinsip. -K!ONLINE














