fbpx

Dipukul sebab buat aduan jiran bising

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa berusia 32 tahun yang cedera di muka dan badan kemudiannya diperas ugut sebanyak RM5,000 oleh kesemua suspek berusia 20 hingga 30an.

KLANG – Hanya kerana membuat aduan jirannya bising, seorang lelaki warga Bangladesh di sini dipukul menggunakan buku lima dan diacu parang pada lehernya oleh sekumpulan tujuh warga Indonesia dalam kejadian di Meru, Rabu lalu.

Mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci dan berusia 32 tahun yang cedera di muka dan badan akibat dipukul kemudiannya diperas ugut sebanyak RM5,000 oleh kesemua suspek berusia 20 hingga 30an.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kejadian tersebut diketahui apabila mangsa menghubungi seorang lelaki berusia 68 tahun yang merupakan pemilik rumah sewanya kira-kira pukul 11.15 malam.

Katanya, siasatan mendapati mangsa diserang ketika membuka pintu rumahnya selepas pulang daripada kerja.

“Kumpulan suspek tersebut meminta wang sebanyak RM5,000 sekiranya mahu dilepaskan namun mangsa hanya memberikan RM900 sahaja.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta mangsa mencari baki wang itu sebelum lelaki warga Bangladesh itu tuan rumah sewanya yang dikenali hampir lima tahun bagi meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, tuan rumah sewa yang ingin membantu kemudiannya kehilangan sebuah telefon bimbit jenis Samsung J6 berharga RM1,000 yang telah diambil oleh suspek.

Ujar Nurulhuda, lelaki tersebut yang bimbang dengan keadaan mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum kesemua suspek berjaya ditangkap di sekitar daerah ini.

“Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek dan menemui barangan milik mangsa semula.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian akibat tidak puas hati selepas mangsa membuat aduan tentang rumah kumpulan suspek itu yang seringkali berbuat bising di awal pagi sehingga menganggu ketenteraman awam penduduk,” katanya.

Jelas beliau, mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958) ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI