fbpx

Irfan bimbang dengan jumlah kes kluster Sivagangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN (kanan) akui bimbang dengan peningkatan kes pandemik Covid-19 membabitkan kluster Sivagangga di Pekan Napoh, Jitra.

TONGGAK pertahanan Kedah, Muhammad Irfan Zakaria mengakui bimbang dengan jumlah kes pandemik Covid-19 di Kedah yang semakin meningkat membabitkan kluster Sivagangga ketika ini.

Ini kerana lokasi rumah sewa yang diduduki Irfan, 25, di Malau, Jitra cuma 12 kilometer (km) dari sebuah restoran nasi kandar yang terbabit dengan kluster Sivagangga di Pekan Napoh.

“Rumah sewa saya di Jitra, memang saya agak risau walaupun tidak pergi ke kedai (restoran nasi kandar di Pekan Napoh) itu tetapi dari segi pembawakan wabak di sini.

“Jadi, kita perlu mengingatkan diri supaya selalu mengamalkan penjarakan fizikal. Setakat ini saya sendiri memang mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan pihak kerajaan,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Mujur kediaman Irfan tidak termasuk dalam empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga mengakibatkan 7,000 penduduk perlu disaring Covid-19 bagi mengesan kontak rapat membabitkan kluster itu.

Kluster Sivagangga menular selepas seorang pemilik kedai nasi kandar di Napoh dilaporkan melanggar SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dengan tidak menjalani kuarantin di rumah.

Dalam perkembangan lain, bek tengah Harimau Malaya itu mengambil pendekatan kunci mulut berhubung keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang bersetuju melunaskan bayaran gaji secara berperingkat bermula 15 Ogos ini.

Irfan yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Kedah musim ini lebih berminat untuk memberikan tumpuan mendapatkan tahap kecergasan terbaik dalam beberapa perlawanan persahabatan Kedah selepas ini.

Skuad Helang Merah dijadualkan bertemu Polis Diraja Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 27 Ogos ini pada saingan Liga Super yang kembali berlangsung selepas tertangguh sejak Mac lalu disebabkan Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI