fbpx
KOPRAL mampu mencari makanan sendiri dan memanjat menggunakan dua kakinya. – AGENSI

Orang utan kudung hidup berdikari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Seekor orang utan jantan yang kudung kedua-dua tangan kembali semula ke habitat terkawal di sini selepas menjalani program pemulihan untuk meningkatkan tahap kemandirian atau ikhtiar hidup di hutan, lapor akhbar Daily Mail.

Mamalia dinamakan Kopral itu hilang dua tangannya akibat terkena renjatan ketika memanjat tiang elektrik untuk melarikan diri daripada ditangkap sekumpulan individu.
Kopral kemudian dibawa ke Yayasan Kemandirian Orang Utan Borneo di Samboja Lestari, Bandar Balikpapan, wilayah Kalimantan Timur dengan menaiki sebuah teksi, tetapi kedua-dua tangannya gagal diselamatkan.

Ini disebabkan, semasa Kopral tiba di pusat pemuliharaan berkenaan, daging pada kedua-dua tangannya sudah mereput dan terpaksa dipotong.

Haiwan itu diserapkan ke dalam Program Pendedahan Semula orang utan di pusat sama.Kopral diajar cara membuat sarang, memanjat pokok, memilih sumber makanan asli dalam hutan serta mengecam haiwan pemangsa.

“Sejak masih bayi, Kopral dikurung sebagai haiwan peliharaan sebelum berjaya melarikan diri dengan memanjat tiang elektrik sebelum terkena renjatan.

“Malangnya, kedua-dua tangan orang utan ini teruk terbakar dan terpaksa dipotong sebaik tiba di sini,” kata seorang jurucakap pusat pemuliharaan tersebut.

Kopral kini tinggal di sebuah pulau di Samboja Lestari yang merupakan kawasan persekitaran hutan semula jadi untuk pemuliharaan orang utan.

Jurucakap itu berkata, Kopral sudah menguasai kemahiran memanjat pokok dan mencari makanan dengan hanya menggunakan dua kakinya.

“Disebabkan kecacatan kekalnya, Kopral tidak akan dilepaskan ke hutan biasa.

“Ini sebagai langkah membantu menjaga keselamatannya. Juruteknik dan pasukan perubatan kami yakin Kopral boleh hidup di pulau tersebut tanpa menghadapi sebarang masalah,” jelasnya. – Agensi

POPULAR