KUALA LUMPUR – Kira-kira 330,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang sepatutnya bergraduasi pada tahun ini resah memikirkan nasib diri apabila peluang pekerjaan untuk mereka agak malap akibat pandemik Covid-19.
Keadaan itu ekoran, banyak majikan ketika ini telah membuang pekerja bagi mengurangkan kos operasi, malah terdapat syarikat yang gulung tikar kerana mengalami kerugian besar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Seorang graduan Universiti Malaya, Fatin Farhanah Naguib, 26, berkata, dia bukan sahaja terpaksa bersaing dengan graduan lain dalam pasaran kerja, malah ratusan ribu pekerja kini menganggur akibat kehilangan kerja.
Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengangguran meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei lalu melibatkan seramai 826,100 individu yang dibuang kerja.
Ini bermakna, lebih sejuta termasuk graduan IPT terpaksa bersaing antara mereka di pasaran pekerjaan yang semakin malap.
“Sejak tamat pengajian awal tahun ini, saya sudah memohon lebih 100 pekerjaan, namun hanya menerima 20 panggilan temu duga.
“Kesemua temu duga ini pun gagal. Kesukaran mendapat pekerjaan memberi tekanan kepada saya, hutang pinjaman pelajaran pun mencecah RM30,000,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Media dan Komunikasi itu.

Graduan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUTPM), Hanis Arissa Azman, 23, yang menamatkan pengajian pada Mac lalu berkata, dia gusar memikirkan cara untuk melunaskan hutang pinjaman pendidikan sebanyak RM40,000.
“Setiap kali bangun pagi, saya akan memohon jawatan kosong di portal-portal pekerjaan. Daripada lebih 50 permohonan pekerjaan yang dibuat sejak tiga bulan lalu, hanya satu panggilan temu duga diterima,” ujarnya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat itu sedar situasi tersebut disebabkan pelaksanaan PKP yang membataskan urusan harian.
Akibat PKP, majlis konvokesyen kolej berkenaan yang dijangka diadakan pada Oktober ini juga terpaksa ditangguhkan.
“Bagi menampung perbelanjaan harian, saya menjalankan perniagaan online bersama rakan-rakan dengan menjual kuih-muih termasuk kek.
“Namun, hasil jualan yang saya terima sekadar RM100 sehingga RM200 sebulan,” ujarnya.
Graduan Universiti Putra Malaysia, Muhammad Nur Iqbal Mohd Samsudin, 24, berkata, ketika ini tidak banyak peluang pekerjaan ditawarkan kepada mereka yang mempunyai ijazah.
“Saya pernah memohon kerja menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia kerana ijazah yang diterima tidak banyak peluang pekerjaan. Saya tidak kisah jika gaji yang diterima kecil,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Melayu.
Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mahdi Iqbal Kamarudin, 24, berkata, ketika ini pekerjaan sementara juga tiada jaminan untuk kekal lama di era Covid-19.
Katanya, dia yang bekerja di sebuah rangkaian restoran makanan segera telah diberhentikan kerja sebaik sahaja kerajaan melaksanakan PKP.
“Saya kemudian mengambil upah dengan mengemas rumah sewa atau inap desa selain menawarkan khidmat memformat komputer dengan pendapatan hanya RM400 sebulan,” kata Mahdi Iqbal.














