fbpx
ORANG ramai tidak lagi mengeluh jika perlu beratur memasuki premis kerana sudah terbiasa dengan SOP. - Gambar hiasan

Teruskan berkorban lawan Covid-19

  • Oleh NOR IDAYU BOSRO
  • 30 Julai 2020, 8:16 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NOR IDAYU BOSRO
WARTAWAN EKSEKUTIF

 

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha mempunyai nilai signifikan yang cukup tinggi kepada seluruh umat Islam dalam menterjemahkan erti pengorbanan, keikhlasan dan kesanggupan.

Di tengah-tengah krisis Covid-19 yang melanda dunia, masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa bersatu hati menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah selama hampir tiga bulan bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

Namun, apalah sangat pengorbanan kita berkurung di rumah tatkala petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa, mengerah kudrat serta keringat tanpa mengenal erti lelah demi menjaga keselamatan negara.

Justeru di saat kelonggaran diberikan ketika PKP Pemulihan, masyarakat seharusnya tidak mudah alpa sebaliknya meneruskan komitmen menjalani norma baharu kehidupan dengan mematuhi prosedur operasi stan­dard (SOP) yang ditetapkan kerajaan demi memastikan wabak Covid-19 terus dapat dibendung.

Mengambil kira situasi semasa yang memperlihat trend pe­ningkatan melibatkan kes import yang pulang dari luar negara, sudah tentu kepatuhan yang tinggi dituntut daripada individu ber­kenaan untuk tidak mengabaikan kuarantin wajib di rumah masing-masing.

Dengan mengambil contoh situasi seorang pesakit wanita positif Covid-19 yang gambarnya tular selepas makan di sebuah restoran baru-baru ini, akibat sikap tidak endah, kontak yang berada di premis terbabit terpaksa dicari pihak polis untuk dibuat ujian saringan, manakala restoran berkenaan diarah tutup.

Kesannya cukup buruk kerana ia bukan sahaja merisikokan ke­sihatan orang lain, malah mampu mencetuskan gelombang jangkitan yang lebih besar menerusi kewujudan kluster baharu.

Dalam hal begini, kemahuan untuk keluar ke tempat awam, pusat beli-belah atau makan di restoran perlu dilupakan buat sementara waktu. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 

Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pengorbanan tidak berbelah bahagi dan komitmen berterusan diperlukan daripada semua pihak dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.

“Garis panduan pematuhan SOP yang diberikan kerajaan perlulah diikuti secara istiqamah oleh semua masyarakat,” kata­nya.

Pada masa sama, beliau berkata, masyarakat perlu melihat sisi positif atau hikmah di sebalik peraturan-peraturan ketat yang dilaksanakan kerajaan.

“Masyarakat menjadi lebih bertimbang rasa dan berdisiplin.

“Bukan itu sahaja, ramai orang awam tampil memberi bantuan kepada golongan memerlukan dalam pelbagai bentuk baik dari aspek kewangan, sumbangan sut peralatan pelindungan diri dan macam-macam lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, pengorbanan pasukan kesihatan dan perubatan melawan pandemik Co­vid-19 tidak boleh diperkecilkan kerana mereka memikul tugas serta tanggungjawab berat.

“Saya bersyukur kerana ramai anak didik  menganggotai pasukan barisan hadapan sebagai doktor, jururawat dan parame­dik.

“Mereka telah membuktikan tahap profesionalisme yang tinggi dengan mementingkan kebajikan pesakit melebihi kepentingan diri sendiri.

“Pengorbanan ini akan membuahkan kemanisan apabila negara berjaya melawan wabak ini suatu hari nanti,” katanya.