fbpx

Cik Manggis tiada halangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIK MANGGIS

TIADA istilah payah atau terkilan buat anggota kumpulan De Fam, Cik Manggis apabila dia membuat keputusan untuk berhijab sejak sebulan lalu.
Bagi pemilik nama Nurshazwani Shamsuddin, sudah lama dia menyimpan niat penghijrahan itu, namun tidak berjumpa masa yang sesuai sehinggalah baru-baru ini.
Bertudung bukan untuk kepuasan hati orang lain, sebab itulah wanita berusia 31 tahun ini amat berhati-hati berkongsi kisah penghijrahannya saat dihubungi HibGlam. Dia bimbang penjelasannya akan disalah tafsir.
Enggan terlalu menggembar-gemburkan hal bertudung, Manggis turut menegaskan perubahan yang dijalani tidak akan mengganggu kerjaya seni, termasuk penglibatannya dengan De Fam sendiri.

KOSMO!: Boleh kongsikan kisah anda tergerak hati untuk membuat keputusan bertudung?
MANGGIS: Sejujurnya saya tidak mempunyai kisah menarik untuk dikongsikan kerana hasrat ini sudah lama tersimpan. Cuma sebelum ini, saya masih tercari-cari kekuatan serta keyakinan untuk bermula. Pada hari pertama saya mula bertudung, semuanya berlaku tanpa dirancang. Sebenarnya mahu keluar bersama suami dan kebetulan, saya baru sahaja membuat ulasan produk tudung. Tanpa berfikir panjang, saya terus pakai tudung berkenaan dan semudah itu, saya sudah berhijab.

 

CIK Manggis bersama dua anggota De Fam, Azira Shafinaz (kanan sekali) dan Sophia Liyana.

 

Siapakah individu yang paling kuat menyokong anda dalam penghijrahan ini?
Pastinya suami, Syazmin Firdaus kerana saya tahu dia sudah lama ingin melihat saya bertudung. Meskipun tidak pernah memaksa, saya yakin dia sering mendoakan pintu hati saya terbuka untuk berhijab. Apabila dia melihat saya bertudung buat pertama kali, riak wajahnya sedikit terkejut seperti hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.

Adakah anda mendapat inspirasi daripada mana-mana individu untuk bertudung?
Saya jarang mengidolakan mana-mana individu lain, cuma apa yang saya fikir sewaktu menetapkan hati untuk kembali kepada fitrah ialah saya mahu menjadi isteri yang lebih baik untuk suami. Saya tidak kisah dengan pandangan orang lain, apa yang penting suami gembira dan reda dengan saya.

Adakah anda akan memadam semua gambar-gambar sebelum berhijab?
Ya, saya dalam proses meletakkan gambar-gambar tidak berhijab terutama dalam laman Instagram dalam arkib peribadi, namun proses tersebut mengambil masa. Kalau ada yang perasan, bilangan foto saya sudah berkurangan lebih berbanding sebelum ini.

Bagaimana pula dengan penglibatan anda dalam kumpulan De Fam?
Masih seperti biasa, tiada apa yang berubah. Saya akan kekal aktif bersama De Fam walaupun penampilan sudah berbeza. Saya masih boleh menari mengikut kesesuaian penampilan dan setakat ini, peminat memberi respons positif. Anggota lain iaitu Azira dan Liyana pun tiada masalah dengan gaya hijab saya sekarang, malah mereka tumpang gembira buat saya. Kami akan kekal sebagai kumpulan dan sahabat baik sampai bila-bila. Insya-Allah.

Bercakap sedikit soal sambutan hari raya haji tahun ini, adakah anda beraya di kampung?
Ya, memandangkan semasa Hari Raya Aidilfitri kita semua tidak boleh balik kampung, jadi untuk raya haji ini saya pulang ke kampung di Air Tawar, Perak.
Saya seronok tetapi perasaan balik kampung kali ini amat berbeza kerana kita masih berjaga-jaga akibat Covid-19. Jadi, jadi suasana kemeriahan mungkin sedikit berkurangan.
Tidak mengapalah janji kita semua terhindar daripada penyakit yang memudaratkan.

SUAMI tidak pernah mendesak Cik Manggis untuk bertudung.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI