fbpx

MFL: Sila patuhi SOP Liga M atau dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. Ghani menjelaskan format promosi dan relegasi tetap dilaksanakan pada saingan Liga M musim ini.

LIGA Bola Sepak (MFL) menggesa semua pasukan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan disambung kembali pada 26 Ogos depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, baki perlawanan Liga M tetap akan dilangsungkan tanpa penonton seperti yang dicadangkan sebelum ini selain SOP pengelolaan perlawanan juga telah diberikan awal buat semua pasukan yang bertanding.

Kata Ab. Ghani, perancangan jadual turut mengambil kira persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) pada bulan Oktober dan November 2020.

“Sebarang pelanggaran kepada SOP merupakan satu kesalahan yang berat dan menyalahi Akta 342: Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“SOP Pengelolaan Perlawanan Liga M 2020 telah diserahkan dan ia turut terpakai bagi pengelolaan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos 2020,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Dato’ Ab. Ghani menegaskan MFL tetap memantau perkembangan terkini pandemik Covid-19 terutama di Sabah dan Sarawak dan sebarang keputusan ke atas pasukan Sabah, Sarawak United FC dan Kuching FA akan dimaklumkan kemudian.

MFL turut mengesahkan pelaksanaan pindaan sementara peraturan pertandingan yang membenarkan pertukaran daripada tiga kepada lima pemain dalam satu perlawanan.

“Setiap pasukan dibenarkan untuk menggunakan penggantian pemain simpanan maksimum seramai lima orang.

“Bagi mengurangkan gangguan terhadap perjalanan perlawanan, setiap pasukan diberikan maksimum tiga peluang pertukaran semasa perlawanan dan pertukaran pemain juga dibenarkan semasa rehat separuh masa,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya, format kelayakan dan penyingkiran juga kekal seperti biasa di mana dua pasukan terbawah Liga Super akan turun ke Liga Premier musim 2021 sementara dua pasu­kan teratas Liga Premier akan naik ke Liga Super musim 2021. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI