fbpx

Jemaah haji patuh penjarakan sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MEKAH – Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah haji memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial semasa menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Pengarah Keselamatan Awam Arab Saudi, Khalid bin Qarar Al-Harbi berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan suhu badan dan kuarantin wajib terhadap jemaah haji yang tiba di Mekah, hujung minggu lalu.

“Pada musim haji tahun ini, tiada sebarang kebimbangan berhubung soal keselamatan, namun langkah pencegahan perlu diambil bagi melindungi jemaah daripada ancaman bahaya wabak pandemik Covid-19,” katanya.

Selain itu, jemaah dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Mekah dan akan dikuarantin selepas tamatnya musim haji. Arab Saudi merupakan antara negara dengan kes Covid-19 tertinggi di Asia Barat, mencatat hampir 270,000 kes.

Kementerian Haji Arab Saudi juga menyatakan setiap jemaah dibekalkan dengan kit kemudahan haji termasuk batu untuk ibadah melontar yang telah dinyahkuman, cecair pembasmi kuman, pelitup muka, sejadah dan kain ihram.

Pihak berkuasa turut menutup kawasan di sekeliling Kaabah pada tahun ini dan berkata, jemaah tidak dibenarkan menyentuhnya sebagai satu lagi langkah berjaga-jaga.

Pengamal-pengamal media asing yang lazim membuat liputan haji turut dilarang memasuki Mekah tahun ini.

Petugas kesihatan turut menjalankan proses nyah kuman pada bagasi dan beberapa jemaah diberikan gelang tangan elektronik untuk dipantau pihak berkuasa.

Beberapa kemudahan kesihatan termasuk klinik bergerak dan ambulans disediakan bagi kemudahan jemaah.

Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini menyatakan hanya 1,000 jemaah yang menetap di negara itu dibenarkan mengerjakan haji. Media tempatan pula melaporkan jumlah sebenar ialah 10,000 jemaah.

Sementara itu, seramai 244 individu ditahan di Dubai, Emiriyiah Arab Bersatu kerana cuba memasuki Tanah Suci tanpa permit semalam, menurut laporan agensi rasmi Saudi Press Agency. – AFP/SPA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI