fbpx

Op Benteng tahan 14 PATI, 5 bot nelayan dalam empat hari di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA bot nelayan yang ditahan dalam Op Benteng di Sungai Tiang, Bagan Datuk, pada Sabtu lalu.

 

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Perak menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama lima bot nelayan tempatan disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam tempoh empat hari bermula 22 hingga 25 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata, sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan oleh Kapal Maritim Nyalau di kedudukan kira-kira 3.1 batu nautika barat Pulau Jarak pada pukul 6.30 petang 22 Julai.

Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B (Pukat Tunda) pula ditahan oleh Kapal Maritim Malawali lebih kurang pada kedudukan 0.9 batu nautika barat daya Pulau Jarak pada pagi Sabtu lalu.

Pada hari sama, pada pukul 11.12 malam menerusi maklumat yang diterima dari ‘National Task Force’ , Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menahan tiga bot nelayan Kelas A kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa permit di kawasan Sungai Tiang di Bagan Datuk.

“Setelah diperiksa kelima-lima bot tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1986 dan Akta Imigresen 1959/63. Kesemua kru ditahan terdiri daripada warganegara asing iaitu seorang Thailand, tujuh Myanmar dan enam Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot beserta tekong dan awak-awak diiring masuk ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu Lumut, bagi siasatan lanjut ,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Shahrizan mengingatkan khususnya pengusaha bot pukat tunda tempatan supaya mematuhi sistem pengezonan kawasan penangkapan ikan yang telah ditetapkan dalam syarat lesen vesel kerana pihaknya menerima aduan nelayan-nelayan tradisional yang menyatakan kegiatan tersebut telah menjejaskan hasil pendapatan mereka serta ekosistem perikanan di negeri Perak.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, orang awam dan komuniti maritim diminta bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI