fbpx
GAMBAR fail bertarikh 31 Januari 2018 menunjukkan seekor ular betina jenis Leucistic monocled dalam kurungan di taman zoo Planet Exotica di Royan, Perancis. – MEHDI FEDOUACH/ AFP

Rahsia terbongkar selepas pelajar dipatuk tedung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO – Pihak berkuasa Brazil menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujud aktiviti penyeludupan hidupan liar eksotik di negara ini selepas seorang pelajar veterinar koma akibat dipatuk seekor ular tedung.

Krambeck Lehmkuhl, 22, dipatuk ular tedung jenis monocled yang dipercayai berasal dari kawasan negara Asia, pada 7 Julai lalu di Brasilia. Doktor berdepan kesukaran mendapatkan ubat antivenom diperlukan hingga terpaksa memohon bantuan bekalan dari Sao Paulo.

Polis berasa curiga bagaimana reptilia itu boleh berada di dalam pangsapuri mangsa dan siasatan dijalankan membawa kepada penemuan 16 ekor ular di kediaman rakan Lehmkuhl.

Selain itu, anggota penyiasat turut menemui tujuh lagi ular, tiga ekor jerung, belut Moray dan seekor cicak Tupinambis di unit kediaman berasingan.

Hasil siasatan itu menyebabkan dua pegawai pengawal selia alam sekitar Brazil, IBAMA dipecat kerana mereka disyaki memalsukan permit import bagi satu sindiket penyeludupan hidupan liar.

Ibu dan bapa tiri pelajar itu yang merupakan anggota polis berpangkat kolonel disiasat dan dikenakan denda 8,500 real (RM6,926) bagi setiap seorang atas pertuduhan menghalang siasatan.
Lehmkuhl dirawat selama enam hari di hospital dan dibebaskan dengan denda 61,000 real (RM49,710).

Dia masih disiasat pihak berkuasa. Ular sepanjang 1.5 meter itu ditemui dekat kawasan sebuah pusat beli-belah. Seorang rakan Lehmkuhl dipercayai membuang reptilia itu untuk menghapuskan bukti. – AFP

POPULAR