fbpx

Tun M fail cabar lantikan Azhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz bersama tiga lagi menfailkan tindakan undang-undang sebentar tadi bagi mencabar kesahihan pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.

Selain Mahathir dan Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah, tiga lagi individu itu ialah bekas Menteri Pendidikan, Dr.Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md. Salleh.

Kesemua plaintif menfailkan saman pemula tersebut terhadap Azhar, Azalina selain Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin melalui Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Dalam saman pemula yang dikemukakan kelima-lima plaintif menamakan keempat-empat mereka sebagai defendan pertama hingga keempat dan memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar serta Azalina itu adalah tidak sah.

Ia berikutan ianya tidak berpelembagaan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan 3,4,6 dan 47 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat atau kedaulatan undang-undang.

Selain itu, plaintif-plaintif juga menuntut deklarasi bahawa semasa perjalanan sesuatu persidangan Dewan Rakyat sebaik sahaja Usul mengosongkan jawatan Yang Di-Pertua atau Timbalan diluluskan oleh majoriti Dewan Rakyat, maka tempoh 14 hari bagi pihak setiap Ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan calon Yang Di-Pertua dan Timbalannya adalah bermula dari tarikh Usul itu diluluskan.

Dalam pada itu, mereka juga memohon perintah seorang Yang Di-Pertua dan Timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung hendaklah melalui proses-proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan satu proses pelantikan yang sah.

Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu adalah tindakan defendan ketiga (Mohd. Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada satu calon bagi tujuan pelantikan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat baru adalah tidak sah.

Ini kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ketiga dan keempat (Nizam Mydin) kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan atau perbahasan atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat  dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan keempat untuk memasyurkan atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI