fbpx

Jumlah acara Sukan SEA Vietnam diputus November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA mendedahkan MOM memutuskan untuk menghantar gabungan atlet muda dan berpengalaman ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada hujung tahun ini.

 

KUALA LUMPUR – Jumlah akhir senarai sukan pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam bakal diketahui selepas Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada November ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria berkata, jumlah sebenar tidak dapat diputuskan lagi disebabkan terdapat 22 rayuan sukan yang dikemukakan oleh ahli-ahli gabungan termasuk Malaysia.

“Vietnam tidak dapat membuat keputusan dalam mesyuarat hari ini kerana jumlahnya besar. Vietnam akan memaklumkan senarai akhir sukan yang dipertandingkan pada mesyuarat seterusnya pada November tahun ini.

“Apabila bercakap mengenai penganjuran Sukan SEA, jenis-jenis sukan semuanya tertakluk kepada tuan rumah kerana mereka perlu melihat semua aspek dan implikasi selain dari segi sokongan negara-negara terlibat.

“Disebabkan ada 22 sukan (rayuan), agak sukar untuk membuat spekulasi kerana masing-masing mempunyai justifikasi dan rasional sendiri. Jadi, kita tunggu sahaja sehingga November,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat Mesyuarat Majlis SEAGF secara maya di Wisma MOM di sini.

Malaysia telah mengemukakan 11 daripada 22 rayuan sukan iaitu hoki dalam dewan, tenpin bowling, pelayaran, kriket, papan selaju, sampo, floorball, bola jaring, boling padang, skuasy dan ragbi tujuh sebelah.

Baki 11 lagi sukan yang berada dalam pertimbangan tuan rumah Vietnam yang bakal menganjurkan temasya tersebut bermula 21 November hingga 2 Disember tahun depan ialah muay, triatlon, taekwando, lumba bot tradisional, jujitsu, e-Sukan, arnis, tempuh halangan (obstacle course), kempo, teqball dan soft tennis.

Bagaimanapun, Norza memberi bayangan Vietnam berkemungkinan besar tidak akan menganjurkan lebih banyak acara seperti tuan rumah edisi 2019 iaitu Filipina yang mempertandingkan 56 jenis sukan.

“Setakat ini Vietnam telah mencadangkan 32 acara sukan. Saya merasakan pertambahan jenis sukan mungkin tidak sebanyak seperti yang diadakan di Filipina tahun lepas,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI