fbpx

11 nelayan Vietnam ditahan tangkap gamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nelayan warga Vietnam ditahan bersama hasil gamat yang ditangkap di perairan negara kelmarin.

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot nelayan dinaiki 11 warga asing warga Vietnam dalam Ops Kuda Laut berhampiran Kuala Tok Bali dekat sini kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bot itu ditahan kira-kira 56.3 dan 61.7 batu nautika dari kawasan itu ketika sedang menangkap gamat.

Jelasnya, bot pertama ditahan pada pukul 6 petang dan bot kedua pada pukul 7.03 malam pada hari yang sama.

“Kedua-dua bot bertindak memecut laju ketika dihampiri bot peronda Maritim Malaysia dan cuba melupuskan bukti dengan membuang sebahagian daripada 120 kilogram hasil tangkapan gamat ke dalam laut.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati enam awak-awak dan tekong di atas bot berkenaan manakala bot kedua menampung lima awak-awak serta tekong,” katanya pada sidang media di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia 16 hingga 53 tahun ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.

Jelasnya, beliau memberi peringatan kepada pengusaha bot nelayan tempatan supaya tidak lagi menyewakan lesen atau bot mereka kepada nelayan asing.

“Tindakan ini dikenal pasti mencari punca pertambahan bot klon yang digunakan untuk menceroboh dan mencuri hasil laut negara.

“Kami dan agensi berkaitan memantau kegiatan ini. Mereka yang degil akan berdepan dengan tindakan undang-undang,”katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut Muhd. Nur Syam Asmawie, pihaknya sedang menjejaki kumpulan tonto yang mendapat bayaran lumayan daripada pengusaha bot nelayan asing dengan menyalurkan maklumat pergerakan bot peronda di perairan negeri ini.

Jelasnya, tonto yang dikenal pasti terdiri daripada dalam kalangan nelayan asing yang menyewa bot sesetengah pemancing selain nelayan bot tempatan turut menjadi tali barut mereka.

“Kadar upah atau bayaran bergantung kepada kejayaan tonto dan tali barut menggagalkan operasi pihak berkuasa menahan nelayan asing yang memukat gamat, sotong dan ikan mengikut kapasiti bot nelayan asing yang menceroboh perairan ini.

“Unit risikan kita sudah mengenal pasti modus operandi kumpulan tonto yang mungkin menggunakan telefon selular, radio dan pelbagai isyarat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI